Negara kaya ‘bolot’ separuh vaksin

WASHINGTON, 17 SEPT – Negara-negara kaya yang mewakili sebilangan kecil penduduk dunia sudah membeli hampir separuh daripada bekalan vaksin COVID-19.

Kajian Oxfam menunjukkan negara berkenaan berbuat demikian meskipun sebahagian besar daripada vaksin berkenaan masih dalam peringkat akhir ujian klinikal. Selain itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump juga sudah berikrar bahawa vaksin berkenaan akan diedarkan kepada rakyatnya dalam beberapa minggu lagi.

Ketika ini, syarikat farmasi utama berlumba-lumba untuk menjadi pihak pertama yang mengeluarkan vaksin itu.

Sehubungan itu, Ketua Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen memberi amaran bahawa langkah negara kaya terbabit akan meminggirkan hak negara miskin. Dalam pada itu, kajian Oxfam menunjukkan bahawa kumpulan negara kaya yang mewakili 13 peratus daripada populasi dunia sudah membeli separuh vaksin COVID-19. “Akses terhadap vaksin yang dapat menyelamatkan nyawa seharusnya tidak bergantung kepada negara asal seseorang atau berapa banyak wang yang dimiliki individu,” kata Robert Silverman dari Oxfam America.

Setakat ini, ada lima calon vaksin utama yang dalam peringkat akhir ujian klinikal.

Ia dijangka membekalkan 5.9 bilion dos vaksin dan cukup untuk disuntik kepada tiga bilion orang. Bagaimanapun, Oxfam berkata, 51 peratus daripada dos itu sudah dimiliki oleh negara kaya termasuk AS, Britain, negara-negara EU, Australia, Hong Kong, Macau, Jepun, Switzerland dan Israel. Bakinya sudah dimiliki atau dijanjikan untuk dibekalkan kepada India, Bangladesh, China, Brazil, Indonesia dan Mexico. – AFP

Antara vaksin COVID-19 yang masih dalam ujian klinikal peringkat akhir. – AP