Negara kekal bebas daripada jangkitan baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Negara Brunei Darussalam terus bebas daripada jangkitan baharu COVID-19 hari ini, yang mana jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar turut mengongsikan bahawa terdapat 407 orang yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

“Setakat ini, seramai 2,704 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya beliau lagi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 324 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 29,547 ujian.

Menyentuh mengenai aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa setakat ini seramai 406,071 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

“Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 10,950 telah mendaftar. Manakala, berkenaan aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,995 telah dimuat turun oleh 4,269 premis perniagaan,” tambah beliau.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.