Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara masuki musim peralihan monsun

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki peralihan monsun dari monsun timur laut ke monsun barat daya yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan Mei, di mana sepanjang tempoh ini tiada luruan angin monsun berlaku, membolehkan kesan angin tempatan memainkan peranan penting mempengaruhi cuaca harian.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan ini berbanding bulan-bulan lain.

    Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi bulan April ialah 16 hari dan bagi bulan Mei ialah 18 hari.

    Sepanjang tempoh ini negara lazimnya mengalami keadaan cuaca yang cenderung panas pada waktu siang.

    Negara juga akan mengalami tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan lemah pada waktu pagi dan pembentukan awan ribut petir berlaku pada waktu petang serta ribut petir kebanyakannya di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan pada waktu malam sehingga ke pagi.

    Menurut kenyataan itu lagi, jabatan akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu.

    Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat keadaan cuaca terkini, bolehlah menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui aplikasi bimbit Brunei WX.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda