Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Negara masuki tempoh peralihan monsun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu selepas monsun timur laut dan sebelum memasuki monsun barat daya, menurut Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

    Tempoh peralihan monsun itu dijangka berterusan sehingga hujung Mei di mana sepanjang tempoh berkenaan, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara. Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun itu berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi April ialah 16 hari dan bagi Mei ialah 18 hari.

    Sepanjang tempoh berkenaan, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari, ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam dan kadang kala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.

    Di samping itu, negara juga mengalami tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam dan dari arah barat laut pada waktu petang serta keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit. Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lanjut bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn, laman Facebook @bruneiweather dan akaun Instagram @bruneiweather.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...