Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara-negara Eropah wujud pasukan gabungan

    PERANCIS, 25 Jun – Sembilan negara Kesatuan Eropah (EU) hari ini akan merangka rancangan untuk mewujudkan pasukan gabungan campur tangan tentera Eropah, kata seorang menteri Perancis, dengan Britain menyokong langkah itu sebagai cara untuk mempertahankan hubungan pertahanan yang kuat dengan blok itu setelah Brexit.

    Pasukan yang dikenali sebagai Inisiatif Intervensi Eropah dan diperjuangkan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron, bertujuan untuk mempercepatkan langkah bagi menangani krisis tersebut.

    Surat perjanjian dijangka akan ditandatangani di Luxembourg hari ini oleh Perancis, Jerman, Belgium, Britain, Denmark, Belanda, Estonia, Sepanyol dan Portugal, menteri pertahanan Perancis Florence Parly memberitahu kepada akhbar Le Figaro.

    Inisiatif ini melibatkan ‘kerja perancangan bersama mengenai senario krisis yang berpotensi mengancam keselamatan Eropah’, menurut sumber yang rapat dengan menteri, termasuk bencana alam, campur tangan dalam krisis atau pemindahan warga negara.

    Ia akan menjadi berasingan daripada kerjasama pertahanan EU lain, yang bermaksud tidak ada halangan bagi Britain mengambil bahagian selepas ia meninggalkan blok.

    “UK sangat berminat kerana mahu mengekalkan kerjasama dengan Eropah di luar hubungan dua hala.”

    Sebanyak 25 negara EU menandatangani pakatan pertahanan utama pada bulan Disember, bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai projek ketenteraan, tetapi tidak jelas sama ada Britain akan dibenarkan mengambil bahagian dalam mana-mana daripada mereka selepas ia meninggalkan blok itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda