‘Negara paling gembira’ kekurangan tenaga kerja

HELSINKI, 22 JUN – Berulang kali dinobatkan sebagai negara paling gembira di dunia dengan taraf hidup yang tinggi, Finland sepatutnya dapat menarik ramai yang ingin berpindah ke sana, tetapi hakikatnya mereka berdepan dengan jumlah tenaga kerja yang kekurangan.

“Ketika ini kami memerlukan ramai tenaga kerja untuk datang ke negara ini,” kata Saku Tihverainen, seorang pengambil pekerja dari agensi Talented Solutions memberitahu AFP.

Pekerja diperlukan untuk ‘membantu menggantikan generasi berusia,’ jelas Tihverainen. Sementara kebanyakan negara barat bergelut dengan pertumbuhan penduduk yang lemah, tidak banyak yang merasai kesan besar sama seperti Finland.

Dengan 39.2 penduduk berusia melebihi 65an berbanding 100 warga umur bekerja, ia adalah negara kedua di belakang Jepun mempunyai jumlah penduduk berusia yang tinggi, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang meramalkan bahawa menjelang 2030 ‘nisbah golongan tua’ akan meningkat kepada 47.5.

Pihak kerajaan memberi amaran bahawa negara yang mempunyai penduduk seramai 5.5 juta orang itu memerlukan taraf penghijrahan dua kali ganda kepada 20,000 hingga 30,000 setahun untuk mengekalkan perkhidmatan awam dan mengurungkan defisit pencen.

Finland mungkin kelihatan sebagai destinasi menarik, mencatatkan markah tinggi dalam perbandingan antarabangsa bagi kualiti hidup, kebebasan dan kesamarataan jantina, dengan kadar rasuah, jenayah dan pencemaran yang rendah. Tetapi tindakan anti-imigrasi dan keengganan untuk mengambil pekerja luar turut berleluasa di negara Barat Eropah dan parti pembangkang Finland menarik sokongan semasa pilihan raya. – AFP

Finland berdepan dengan jumlah tenaga kerja yang kekurangan dengan 39.2 penduduk berusia melebihi 65an berbanding 100 warga umur bekerja.