Negara perlukan belia holistik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Dalam hasrat dan cita-cita negara untuk membangun umat, bangsa dan negara, bukan hanya bergantung kepada kemantapan ekonomi semata-mata malah bergantung juga kepada sumber tenaga manusia yang berwibawa antaranya golongan belia.

Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Belia Siaga Masa Depan hari ini, menjelaskan, golongan belia bakal menjadi tunggak negara pada masa akan datang dan ia perlulah diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang betul dan sempurna sehingga mereka menjadi golongan yang beriman, berilmu, beramal dan mempunyai akhlak yang mulia berpandukan ajaran agama Islam.

“Bimbingan yang baik dan sempurna ini akan mengukuhkan jati diri ke arah menjadikan mereka belia yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” tegas khatib.

Belia yang dididik dan dibimbing dengan nilai-nilai agama tidak akan mudah melakukan perkara mungkar dan maksiat.

Sehubungan itu, semua pihak sama ada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara adalah berperanan untuk membimbing dan memimpin golongan belia agar mereka menjadi golongan yang taat beragama, taat ibu bapa mereka, berakhlak mulia dan menghormati sesama manusia.

Pada tahun ini genap 15 tahun negara menyambut Hari Belia Kebangsaan dengan tema Belia Siaga Masa Depan.

Masa depan ini merupakan satu jangkaan dan cabaran bagi negara pada masa akan datang yang memerlukan kesiagaan yang mapan bagi memantapkan proses pembangunan dan kemajuan negara dan ini lebih-lebih lagi bagi merealisasikan aspirasi negara, wawasan negara 2035.

Ke arah menjamin kemakmuran dan kemajuan negara supaya berterusan dan sentiasa membangun dari semasa ke semasa, negara amat memerlukan belia yang holistik.

Belia bukan hanya cemerlang dalam pendidikan, elok pada sudut saksiah dan kerohanian tapi belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif dalam kehidupan sejajar dengan kepesatan kemajuan dunia sekarang dalam pelbagai bidang, bagi meneruskan usaha agenda pembangunan umat, negara dan wawasan negara 2035.

Dalam pada itu, khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama berdoa semoga belia negara sentiasa berada di atas landasan dan jalan benar serta diredhai Allah.