Negara runding perjanjian pandemik WHO

GENEVA, 1 DIS – Negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencapai persetujuan hari ini untuk membangunkan perjanjian antarabangsa baharu mengenai cara-cara mengendali pandemik akan datang dan memastikan tidak berulangnya COVID-19.

Krisis ekonomi dan kehilangan jutaan nyawa semasa krisis koronavirus mencetuskan gesaan untuk pertahanan antarabangsa baharu yang cukup teguh untuk menghalang bencana sedemikian daripada berlaku pada masa depan.

Pada mesyuarat khas di Geneva, 194 ne-gara anggota WHO sebulat suara meluluskan resolusi untuk melancarkan rundingan dan menggubal proses untuk kaedah antarabangsa baharu mengenai pencegahan, persediaan dan respons pandemik.

Proses itu akan mengemukakan keputusan akhir kepada negara anggota WHO pada 2024.
“Pelaksanaan keputusan ini merupakan satu harapan yang kami semua perlukan,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa mengakhiri perhimpunan tiga hari itu.

“Sudah tentunya, perjalanan masih jauh di depan. Masih wujud perbezaan pendapat mengenai apa yang patut dimasukkan dalam perjanjian. Namun awda telah membuktikan kepada dunia bahawa perbezaan boleh diatasi dan penyelesaian umum boleh dicapai.

“Saya mempunyai satu permintaan untuk semua negara anggota, iaitu tamatkan pandemik ini,” kata Tedros dalam ucapan penutupnya. “Menamatkan pandemik bukan satu peluang, ia adalah satu pilihan.” – AFP