Negara sedia beralih ke Fasa Endemik

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Negara Brunei Darussalam tetap bersedia untuk memasuki Fasa Endemik berdasarkan perkiraan jumlah pengambilan suntikan vaksinasi kebangsaan secara menyeluruh sudah mencapai peratus yang dihasratkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengulas mengenai tahap kesediaan yang sesuai bagi negara untuk memasuki Fasa Endemik bermula pada hari rabu nanti semasa berlangsungnya sidang media, petang tadi.

Tambahnya, untuk meniti Fasa Endemik, bukanlah dilihat terlalu awal atau akhir bahkan apa yang perlu dilihat bagi negara kita, jumlah pengambilan suntikan vaksin sepenuhnya sudah mencapai 88 peratus dan mereka yang menerima satu dos suntikan vaksin sudah mencecah lebih 94 peratus pada masa kini.

Ini menunjukkan jumlah pengambilan suntikan vaksinasi di negara ini berada di tahap yang tinggi secara keseluruhannya kalau dibandingkan dengan negara-negara lain.

“Beberapa indikator yang perlu dilihat seperti jumlah jangkitan, kapasiti rawatan di hospital dan tahap kes jangkitan yang tergolong dalam kategori jangkitan sama ada tahap 4 dan juga tahap 5, semua itu perlu diambil kira dan perbincangan di dalam Jawatankuasa Pandu COVID-19 dan dengan keputusan di mana negara sudah bersedia memasuki Fasa Endemik ini,” ujarnya Yang Berhormat Dato lagi.