Negara semakin maju – budaya penyenggaraan kian terhakis

Oleh Ravindran Raman Kutty

KUALA LUMPUR – Semasa membeli kereta, kita diingatkan dengan jelas mengenai pentingnya melakukan penyenggaraan apabila mencatatkan 1,000 kilometer (km) pertama. Penyenggaraan kedua dilakukan pada 5,000km diikuti 10,000km dan seterusnya.

Ini bertujuan memastikan kereta disenggara dengan baik dan mengelak masalah pemanduan. Begitu juga apabila anak damit dilahirkan, mereka perlu mengambil beberapa suntikan dan inokulasi bagi menjamin kesihatan. Kedua-dua contoh itu menunjukkan tentang pentingnya untuk melakukan penyenggaraan mengikut masa yang ditetapkan.

Ramai di antara kita yang hebat dalam menyenggara kereta dan menjaga anak-anak. Malangnya, aspek sama tidak ditekankan dalam menjaga kemudahan awam seperti jalan raya, jambatan, taman, pengurusan sisa, air, rumah pangsa kos rendah, arked beli-belah, kolam renang dan restoran.

Bangunan-bangunan kerajaan di Putrajaya dan Jalan Duta boleh berdiri megah namun, keadaan tangga, lif, tandas dan ruang pembuangan sisa di bangunan berkenaan tidak selalunya dalam keadaan baik. Kunjungilah mana-mana taman awam termasuk Taman KLCC yang terletak di sebelah menara berkembar di Kuala Lumpur tetapi, jangan terkejut dengan apa yang anda lihat, pokok-pokok yang tidak dijaga rapi, kolam yang kotor, sampah sarap merata-rata dan tong sampah yang penuh melimpah.

Rumah-rumah pangsa kos rendah di Selayang, Cheras, Klang, Kepong dan Bangsar juga ‘menyakitkan mata’. Ia tidak pernah dicat semula sejak dibina. Ruang pembuangan sisa pula penuh dan bersepah dengan tilam dan sofa buangan.

Lif-lif berbau busuk dan lampu-lampu rosak ‘mengiringi’ penduduk pulang ke unit masing-masing melalui koridor dan laluan pejalan kaki yang suram. Najis kucing dan sampah banyak terdapat di laluan berkenaan selain kepingan kaca daripada tingkap yang pecah. Rumput panjang tidak dipotong, parit kotor tidak dijaga dan adanya lubang-lubang yang membahayakan. Udara pula membawa bau busuk daripada tandas yang rosak. Kereta dan motosikal diletakkan merata-rata, yang menyukarkan pemanduan menuju ke dan keluar dari kawasan tempat letak kereta.

Gerai-gerai penjaja turut memenuhi setiap sudut, dengan ada beberapa yang terbiar atau rosak. Jalan-jalan yang menuju ke rumah pangsa juga banyak yang berlubang.

Taman permainan di mana-mana perbandaran menjadi petunjuk berhubung tahap penyenggaraan di negara ini. Begitu banyak penekanan diberikan kepada kebajikan dan keselamatan anak-anak kita tetapi mereka dbiarkan bermain buaian, jongkang-jongket dan gelongsor yang kotor, berkarat atau rosak. Rumput panjang di kawasan itu pula ‘mempelawa’ kehadiran ular, nyamuk dan serangga lain. Pagar yang mengelilingi taman permainan turut rosak atau hilang.

Kurang penyenggaraan merupakan isu asas dalam sektor awam dan swasta. Kurangnya perancangan atau kegagalan memperuntukkan 10 peratus daripada kos bangunan bagi tujuan penyenggaraan adalah punca utama yang menghalang usaha melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan yang perlu.

Saya amat berharap agar lif-lif yang terdapat di ruang parkir A, B dan C di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dapat berfungsi dengan baik, dan saya juga berharap supaya tandas-tandas berdekatan ruang parkir itu disenggarakan dengan baik untuk kemudahan pengguna.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengetatkan undang-undang berkenaan dan menjadikannya wajib bagi semua pemaju rumah pangsa kos rendah memperuntuk 10 peratus daripada kos bangunan untuk tujuan penyenggaraan. Pihak Berkuasa tempatan terutamanya Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Selayang mesti berusaha memperbaiki imej masing-masing dengan menyelesaikan beberapa isu berkaitan penyenggaraan rumah pangsa kos rendah, pengurusan sisa, lubang-lubang di jalan raya, rumput dibiar panjang, anjing liar, banjir kilat dan longkang tersumbat.

Jika Malaysia mahu menjadi antara negara-negara terbaik dunia, kita mesti melakukannya bermula dengan perkara yang paling kecil. Kita mesti memastikan kebersihan tandas sekolah dan tandas awam tanpa mengambil kira di premis mana ia ditempatkan.

Malah, tandas di tempat-tempat ibadat juga mestilah disenggara dengan baik. Kita mesti memastikan jalan raya bebas daripada sampah dan lubang yang membahayakan. Rumah pangsa kos rendah mestilah bersih dan rapi. Restoran dan gerai penjaja juga harus bersih dan teratur.

Kita tidak boleh ambil lewa tentang penyenggaraan. Penyenggaraan bukan sahaja penting untuk sesebuah kereta malah ia samat penting bagi perkara lain dalam negara yang semakin maju seperti Malaysia. – Bernama