Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    ‘Negara Sukan Yang Gemilang’ akan direalisasikan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Sistem Kebajikan Negara (SKN) merupakan sebuah platform berkuasa tinggi yang telah banyak membantu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan agensi-agensi pengendali bantuan yang lain dalam menghulurkan bantuan dan menjalankan intervensi-intervensi yang bersesuaian selaras dengan portfolio masing-masing dalam menanai pelaksanaan Sistem Jaminan Sosial negara.

    Sehubungan itu, KKBS akan mengaturkan sesi muzakarah khusus dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengenai SKN dan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan di bawah Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan bagi sama-sama menanai tanggungjawab terhadap kepentingan dan manfaat yang dapat diperolehi daripada SKN dalam memperbaiki proses kerja sedia ada, penilaian dan pengagihan bantuan-bantuan yang bertepatan dengan keperluan masyarakat kurang berkemampuan di negara ini.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam ucapan penangguhan Musim Permesyuaratan ke-19 MMN, hari ini.

    “Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan adalah pelan tindakan utama dalam menggariskan kapasiti, akses dasar dan akta serta Pelan Tindakan OKU, Warga Emas, Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak menggariskan pembangunan, kesaksamaan, kebajikan, kesejahteraan dan sokongan mesra.”

    “Pelan-pelan tindakan ini bertujuan meningkatkan daya tahan dan mandiri ekonomi golongan sasaran khusus untuk keluar daripada kitaran kemiskinan dan mengurangkan ketergantungan kepada kerajaan. Begitu juga, Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) 2020-2035, ianya menjadi asas kepada segala inisiatif yang dilaksanakan bagi melahirkan belia harapan dengan calak Brunei yang berdaya tahan dan positif berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB),” ujar Yang Berhormat Dato.

    Berkenaan pembangunan dan perkembangan sukan, KKBS akan terus menggalas amanah merealisasikan ‘Negara Sukan Yang Gemilang’. Salah satu elemen penting dalam memantapkan ekosistem sukan sama ada Sukan Untuk Masyarakat atau Sukan Prestasi Tinggi adalah kepentingan tadbir urus sukan yang efektif, penuh integriti, telus dan adil.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyentuh berkaitan penyertaan negara ke kejohanan sukan berkontinjen seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Olimpik dan sukan-sukan Para bagi orang kelainan upaya, adalah sukan yang diiktiraf oleh badan sukan antarabangsa. Manakala, pemilihan atlet berdasarkan garis panduan dan kriteria yang dikawal selia dan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan yang terdiri daripada majlis-majlis sukan yang relevan dan berkepentingan termasuk wakil dari KKBS.

    “Ini merupakan jentera tadbir urus yang kukuh demi mengelakkan mana-mana pihak individu menjadi penghalang,” ujarnya. Jelasnya lanjut, atlet-atlet yang disokong mewakili negara sudah setentunya telah menjalani latihan-latihan khusus yang intensif sebagai persediaan awal oleh persatuan-persatuan sukan masing-masing.

    Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa tadbir urus yang efektif juga melibatkan persatuan-persatuan sukan kebangsaan untuk membuat perancangan strategi dan pelan tindakan jangka panjang dengan sasaran dan inisiatif strategik yang lebih menjurus kepada peningkatan prestasi dan meraih pingat di peringkat serantau dan antarabangsa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...