Saturday, December 14, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nelayan Croatia, Slovenia berdepan krisis penangkapan ikan

    SAVUDRIJA, Croatia – Selama dua dekad, Diego Makovac, berusia 48 tahun, telah melakukan penangkapan ikan di Teluk Piran tanpa sebarang masalah, namun kini dia perlu menghadapi sekumpulan bot-bot peronda daripada Croatia dan Slovenia oleh disebabkan konflik perairan.

    Kapal-kapal polis dari negara-negara jiran mengiringi bot Makovac ketika dia hendak meletakkan jaringnya di perairan laut tersebut.

    “Saya tidak dapat melakukan pekerjaan saya dengan aman lagi… Mereka berada di samping kami setiap masa, membuatkan kami merasa sangat tertekan,” katanya, salah seorang nelayan warga Croatia yang berada di teluk di utara Laut Adriatik.

    Perselisihan di Teluk Piran, kurang daripada tujuh kilometer panjang dan lima kilometer lebar, telah meracuni hubungan antara Croatia dan Slovenia sejak mereka mengisytiharkan kemerdekaannya dari Yugoslavia pada hampir 27 tahun yang lalu.

    Pada bulan Jun tahun lepas, sebuah mahkamah timbangtara antarabangsa memperuntukkan lebih daripada dua pertiga daripada perairan yang dipertikaikan itu kepada Slovenia.

    Diego Makovac di botnya yang berada di luar pantai Piran. – AFP
    Sebuah bot polis peronda Slovenia kelihatan memberi amaran kepada nelayan Croatia yang berada di ‘perairan wilayah Slovenia’, luar Savudrija. – AFP

    Croatia, yang pantainya terbentang sejauh 1,700 kilometer, enggan menerima keputusan itu. Ia mahu sempadan maritim tersebut diletakkan di tengah-tengah teluk berkenaan.

    Tetapi Slovenia, yang hanya sejauh 46 kilometer dari pantai, telah mendakwa bahawa aksesnya ke perairan antarabangsa telah dipertaruhkan.

    Hubungan antara kedua-dua anggota Kesatuan Eropah itu menjadi semakin tegang pada bulan Disember lalu, ketika Slovenia mula melaksanakan keputusan dari Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague.

    Ini tidak menghentikan Makovac dan rakan-rakan lainnya untuk menangkap ikan di teluk separuh ‘mereka’ itu.

    “Ini adalah laut wilayah kami. Kami telah melakukan kerja-kerja kami di sini sudah lama,” kata Daniele Kolec, ketua persatuan nelayan tempatan.

    “Tiada siapa yang boleh memberitahu kami bahawa kami tidak boleh memancing di sini lagi. Itu tidak akan terjadi!”

    Setiap kali nelayan membuat pelayaran mereka, mereka perlu memaklumkannya kepada polis Croatia yang akan mengiringi mereka sebagai bentuk perlindungan dengan menggunakan bot peronda.

    Apabila Makovac berlepas dari kampung halamannya, Savudrija dan mendekati pusat teluk tersebut, sebuah bot polis Slovenia kelihatan menyerbu dan memberi amaran kepada mereka bahawa dia telah memasuki ‘perairan wilayah Slovenia’.

    Makovac berkata bahawa dia sudah menjangkakan bot pemeriksaan Slovenia berada di sana ketika dia mengambil semula jaringnya pada hari berikutnya, bersama dengan para pegawai untuk mengambil butir-butir peribadi bagi tujuan denda.

    Kedua-dua negara itu mula mengeluarkan penalti ‘pelanggaran sempadan’ dengan jumlah sehingga 1,300 euro (AS$ 1,600) bagi tujuan persendirian dan 41,000 euro bagi sebuah syarikat.

    Begitu juga risiko perlanggaran di kawasan perairan “terutamanya apabila keadaan berkabus,” kata isteri Makovac, Franka, kepada AFP.

    Franka Makovac membantu suaminya semasa mempersiapkan jaring sambil diiringi dengan bot polis peronda Croatia, luar Savudrija. – AFP

    Nelayan daripada Slovenia mengatakan bahawa meraka perlu tetap berhati-hati setakat ini, tetap pada kawasan yang dibenarkan bagi mengelakkan masalah dan ‘memperbaiki keamanan’.

    “Kami membenarkan pihak ketiga untuk menetapkan sempadan dan apa yang sudah berlalu, biarkan berlalu,” kata nelayan Zlatko Novogradec dari bandar pelabuhan Slovenia yang indah di Piran.

    Novogradec, wakil nelayan berskala kecil dari Slovenia berkata rakan-rakannya harus menunggu sehingga Croatia menerima keputusan itu sebelum memperluaskan peletakan jaring-jaring mereka.

    “Ia akan berlaku sama ada lambat mahupun cepat, namun ia perlu ada sebagai sebuah keputusan undang-undang yang harus dipatuhi dan dihormati.”

    Croatia mengeluarkan prosiding timbang tara pada tahun 2014 berikutan skandal penangkapan melalui telefon, di mana suara hakim Slovenia dari tribunal dan pegawai Ljubljana telah dirakam dan kedengaran membincangkan mengenai taktik keputusan yang menguntungkan Slovenia. Prosiding itu bagaimanapun diteruskan.

    Nelayan Croatia dan kerajaan di Zagreb mengatakan bahawa mereka tidak berniat untuk membayar denda yang kini dikenakan.

    Keluarga Makovac dan rakan sekerja mereka mengatakan bahawa aktiviti penangkapan di teluk itu, yang mana mereka sudah fasih dengan corak pergerakan ikan, adalah sangat penting bagi pendapatan mereka. Kebanyakan daripada hasil tangkapan mereka akan dieksport ke Itali.

    “Inilah sumber pendapatan kami, kehidupan kami,” kata Franka, yang ingin melihat kesepakatan di antara warga Slovenia dan menangkap ikan bersama-sama.

    “Ini semua politik,” katanya.

    Pandangannya telah disuarakan oleh kebanyakan warga Croatia dan Slovenia, yang telah lama tinggal dan bekerja bersama-sama di sekitar kawasan sempadan.

    Sehingga kini warga tempatan “tidak pernah melakukan perbalahan”, kataPeter Nussdorfer, 56, pemandu bas dari Piran.

    Walaupun kebuntuan berterusan, para nelayan lelaki dan wanita meneruskan aktiviti penangkapan mereka di bawah pengawalan bot-bot pemantau, di mana jumlah bilangan bot-bot polis akan terus meningkat semasa musim penangkapan ikan besar-besaran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda