Nelayan Perancis dan Britain berdepan kesukaran

ROSCOFF, PERANCIS – Nelayan Perancis yang bergantung pada perairan United Kingdom dan rakan mereka dari Britain yang meraih hasil tangkapan di pelabuhan Brittany, Roscoff untuk pasaran Eropah kini merasa bimbang akan kehidupan mereka selepas pasca-Brexit.

Udang karang, turbot, dan monkfish ditumpuk di tepi dermaga di barat laut Perancis, sebahagian besar dari perairan wilayah Britain.

“Kami benar-benar berada dalam ketidakpastian, kami tidak tahu apa yang akan terjadi pada kami,” kata Erwan Dussaud dari perikanan Beganton yang mengendalikan lima pukat tunda menangkap ketam dan udang karang di perairan Inggeris.

UK secara rasmi keluar dari EU pada 31 Januari lalu, tetapi tempoh peralihan selama 11 bulan untuk membolehkan persetujuan mengenai hubungan baharu berakhir pada 31 Disember.

Kedua-dua pihak masih berselisih dan memerlukan kesepakatan perdagangan untuk mengatur hubungan, atau menghadapi kekacauan ekonomi. Aktiviti tangkapan hasil laut kini menjadi isu yang diperdebatkan dari segi politik yang menyekat perjanjian.

“Sangat sukar untuk melihat ke depan,” kata Dussaud.

Walaupun Eropah berhasrat untuk memelihara perairan wilayah UK yang terbuka, tetapi London ingin akses itu difikirkan semula untuk menjaga kebajikan masyarakat pesisir Britain.

“Sekiranya akses dibatasi untuk kapal Perancis, ia akan berakhir bagi kami dalam dua atau tiga tahun,” kata Jean-Philippe Guillerm, kapten kapal pukat tunda sepanjang 15 meter yang membuat 40 peratus perolehannya di laut Britain.

“Kami akan kehilangan zon penangkapan ikan yang bersejarah,” katanya, meramalkan masalah besar untuk mencari tempat lain.

“Kita akan mempunyai lebih banyak kapal di kawasan larangan dalam jangka pendek yang akan menyebabkan penangkapan ikan berlebihan.

Dengan London atau Brussels yang tidak bersedia mencapai kesepakatan, diplomat EU mengatakan bahawa mereka tidak melihat pengakhiran yang segera dalam rundingan pasca-Brexit. – AFP