Nelayan perlu pengesahan KSSUP

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Para nelayan yang keluar mencari mata rezeki pada waktu Operasi Pulih dilaksanakan perlu memohon kebenaran daripada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan melengkapkan dan menyertakan bukti mengesahkan mereka adalah nelayan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menerangkan perkara itu semasa menjawab persoalan pada sidang media COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, industri-industri lain juga boleh meminta kebenaran daripada kementerian-kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut menerangkan mengenai cara untuk mendapatkan permohonan kebenaran untuk melakukan aktiviti semasa Operasi Pulih dijalankan.

Individu berkenaan cuma perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian yang bertanggungjawab ke atasnya dan memadai adanya surat kebenaran daripada kementerian relevan yang mengesahkannya dan tidak perlu pengesahan daripada Kementerian Kesihatan lagi, jelasnya.

Selain permohonan daripada kementerian-kementerian berkaitan, permohonan juga boleh didapatkan daripada pihak berkuasa misalnya permohonan bertulis kepada jabatan daerah yang akan menghadapkannya ke kementerian-kementerian berkaitan jika mereka tidak mengetahui kementerian yang perlu dihubungi.