Nelayan temui dadah as$20 juta di laut

YANGON, 20 OKT – Bungkusan berisi dadah kristal meth yang dicedok dari laut oleh nelayan Myanmar yang menyangkanya bahan deodoran mempunyai nilai sekitar AS$20 juta, kata pegawai memberitahu AFP hari ini, di sebuah negara yang dipercayai menjadi pengeluar methamphetamine terbesar di dunia.

Penemuan dadah di rantau Ayeryarwady pesisir luar Myanmar itu berlaku apabila nelayan mengesan sejumlah 23 bungkusan terapung di Laut Andaman pada Rabu.

Setiap satunya mengandungi beg-beg dibungkus plastik yang berlabel sebagai teh hijau China – bungkusan yang biasa digunakan oleh geng jenayah Asia Tenggara untuk menyeludup meth kristal hingga ke destinasi jauh termasuk Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Nelayan tempatan terkeliru dengan bahan berhablur dalam bungkusan itu, kata Zaw Win, seorang pegawai tempatan parti Liga Demokrasi Kebangsaan yang membantu nelayan dan polis. Mulanya mereka menganggapnya ia sejenis kimia deodoran asli dikenali sebagai kalium alum yang meluasnya digunakan di Myanmar.

“Jadi mereka membakarnya dan beberapa daripada mereka hampir pengsan,” ujarnya kepada AFP.

Mereka memaklumkan polis, yang pada Khamis menggeledah pantai dan mendapati dua lagi bungkusan bahan sama – membawa jumlahnya kepada 691kg yang mungkin bernilai sekitar AS$20.2 juta, kata Zaw Win.

“Dalam seluruh kehidupan saya dan orang tua saya, kami tidak pernah melihat dadah terapung di lautan sebelumnya,” katanya.

Rampasan besar-besaran itu telah dihantar hari ini ke polis daerah Pyapon, yang enggan untuk memberi komen mengenainya. – AFP