‘Nenek Gamer’ YouTuber tertua dunia

TOKYO, 7 JUN – Setiap hari, Hamako Mori melenturkan jari-jemarinya supaya kekal lincah tetapi bukan untuk menjahit atau mengait, sebaliknya nenek berusia 90 tahun itu mahu memastikan kecergasan dirinya bagi melayan permainan video.

“Saya bersemangat melayan permainan video setiap hari. Setiap hari adalah hari yang menggembirakan,” kata balu itu kepada AFP dalam temu bual melalui aplikasi sembang video.

Malah, Mori menyifatkan bermain video sebagai terapi tekanan yang hebat.

Beliau memulakan permainan video di saluran YouTubenya dengan ungkapan mesra ‘Konnichiwa’ serta tunduk sebagai tanda salam.

Bahkan, nenek yang tinggal bersama keluarganya di Chiba itu merupakan pemegang Guiness World Record sebagai ‘YouTuber’ permainan yang tertua di dunia.

Cucu Mori, Keisuke Nagao, 43, memberitahu AFP bahawa neneknya itu sering melayan permainan video.

“Saya fikir beliau sedikit berbeza. Orang tua biasa tidak begitu bersemangat melayan permainan video seperti beliau,” katanya.

Mori tidak asing dalam dunia permainan video. Bermula sebagai hobi sejak empat dekad lalu, dianggarkan kira-kira 200 judul permainan video sudah beliau ‘khatam’, antara lain Super Mario Brothers, Dragon Quest, Final Fantasy dan Call of Duty.

Malah, beliau mengaku kadang-kadang sanggup bersengkang mata hingga jam 2 pagi gara-gara bermain video. – AFP

Hamako Mori bersemangat bermain permainan video dan kini mempunyai 300,000 pengikut serta berjuta-juta tontonan. – AFP