Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nenek-nenek di India semangat timba ilmu

    PHANGANE, India – Mereka memakai pakaian seragam, membawa beg galas dan membaca abjad dengan bersungguh-sungguh di dalam kelas, namun penuntut di sini adalah berbeza – sekolah ini merupakan khas untuk nenek-nenek.

    Akibat kekurangan pendidikan pada zaman kanak-kanak – kebanyakan daripada mereka adalah janda dan berumur antara 60 dan 90 tahun – akhirnya dapat memenuhi impian mereka untuk menjadi seorang yang celik membaca melalui inisiatif unik ini berhampiran Mumbai.

    “Saya tidak pernah pergi ke sekolah semasa kanak-kanak lagi. Perasaan sangat mengagumkan kerana dapat mengikuti pembelajaran bersama dengan rakan-rakan saya. Kami sangat seronok mempelajarinya,” kata Gulab Kedar berusia 62 tahun memberitahu AFP. Beliau bersama dengan rakan-rakan lain memakai baju sari sepadan berwarna merah jambu.

    Sekolah tersebut, menyambut ulang tahun pertamanya pada Hari Wanita Antarabangsa pada Rabu lalu, cuba mencabar pandangan tradisi masyarakat di perkampungan India dan membantu wanita untuk memecahkan stigma buta huruf.

    Setiap hari, seramai 29 murid akan berjalan kaki dari rumah mereka di kampung Phangane, di daerah Thane, Maharashtra, menuju Aajibaichi Shala, yang bermaksud ‘sekolah untuk nenek-nenek’ dalam bahasa tempatan, Marathi.

    Sulochona Kedar sedang mempelajari pelajaran yang diajarkan.
    Sulochona Kedar sedang mempelajari pelajaran yang diajarkan.
    Wanita India meninggalkan kelas Aajibaichi Shala atau ‘sekolah untuk nenek-nenek’ dalam bahasa tempatan Marathi,di kampung Phangane, daerah Thane, 125 kilometer dari timur laut Mumbai. – AFP
    Wanita India meninggalkan kelas Aajibaichi Shala atau ‘sekolah untuk nenek-nenek’ dalam bahasa tempatan Marathi,di kampung Phangane, daerah Thane, 125 kilometer dari timur laut Mumbai. – AFP

    Cucu-cucu melambai kepada mereka ketika hendak pergi bersekolah, atau kadang-kadang menemani mereka untuk memberi semangat. Mereka dengan bangganya membawa beg galas di mana setiap satunya mengandungi papan hitam bersaiz kecil, sebatang kapur dan buku teks. Dari jam dua hingga empat petang, mereka akan duduk bersila di lantai di dalam bilik darjah yang sangat kecil, yang diperbuat daripada buluh, atap jerami disatukan dengan rumput kering.

    Di bawah seorang guru bimbingan berusia 30 tahun, Sheetal More, mereka membaca teks yang mudah dan berlatih menulis nama-nama mereka dengan berhati-hati di papan tulis – dua perkara di mana mereka tidak mampu untuk melakukannya pada 12 bulan yang lalu. Mereka juga mempelajari ilmu asas aritmetik.

    Kebanyakan daripada mereka ini memakai gelang yang banyak dan tindikan di hidung, kesemua mereka mempunyai cerita yang sama untuk dikongsikan. Anak-anak muda mereka ada yang tinggal di rumah atau bekerja sementara dan yang lainnya meneruskan pembelajaran. Mereka berkahwin pada usia muda dan kemudian membesar dan menjaga anak-anak mereka di rumah.

    “Adik-beradik saya pergi ke sekolah tetapi saya tidak diberi peluang itu,” jelas Janabai Dajikedar berusia 75 tahun. “Setiap kali ke bank, saya terpaksa menggunakan cap ibu jari saya untuk berurusan. Disana terdapatnya rasa malu di dalam hati. Kini, saya sudah dapat berbangga kerana dapat menandatangani nama saya sendiri,” tambahnya.

    Kemudahan ini dibiayai oleh sebuah tabung amanah tempatan yang dipercayai dan ia adalah ilham daripada Yogendra Bangar, seorang guru di sekolah rendah Phangane bagi tiga tahun yang lalu. Beliau membangunkan idea itu pada awal tahun lepas apabila beberapa wanita mengadu bahawa mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam pembacaan awam semasa majlis perayaan agama.

    “Kami mahu menamatkan penghinaan terhadap mereka dan membantu mereka. Kami berpendapat bahawa jika kita boleh memberi nenek-nenek ini peluang yang adil dalam pendidikan dan celik huruf, maka ia akan memberikan kepada mereka satu kegembiraan,” jelas Bangar, 41.

    “Pada usia mereka, mereka belajar bukan untuk mendapatkan pekerjaan di dalam sesebuah syarikat, akan tetapi untuk merasa kegembiraan kerana dapat menandatangani dan membaca yang telah meningkatkan keceriaan mereka,” tambah beliau.

    Sulochona Kedar sedang belajar di dalam sebuah kelas khusus untuk wanita tua, kebanyakan daripada mereka berusia antara 60 dan 90 tahun, di Aajibaichi Shala. – AFP
    Sulochona Kedar sedang belajar di dalam sebuah kelas khusus untuk wanita tua, kebanyakan daripada mereka berusia antara 60 dan 90 tahun, di Aajibaichi Shala. – AFP
    Gulab Kedar memperkenalkan dirinya kepada rakan-rakan sekelas sebelum pembelajaran dimulakan. – AFP
    Gulab Kedar memperkenalkan dirinya kepada rakan-rakan sekelas sebelum pembelajaran dimulakan. – AFP

    Bangar berkata sekolah itu – termasuk pakaian seragam berwarna-warni, yang sengaja dipilih – memainkan peranan penting dalam memupuk rasa hormat terhadap wanita. Beliau juga berharap ia boleh menjadi contoh kepada kampung-kampung lain.

    “Kebanyakan daripada nenek-nenek ini adalah janda dan memakai pakaian berwarna putih sebagai berkabung. Jadi kami mahu untuk memecahkan pantang larang ini dan tradisi-tradisi lama lainnya untuk memberikan mereka perasaan yang sama dan menjadi sebahagian daripada masyarakat tanpa ada sebarang diskriminasi, jadi kami memilih pakaian seragam berwarna merah jambu, “jelas beliau.

    Kesemua 70 keluarga di kampung itu menyokong projek ini dan menghantar nenek-nenek ini ke sekolah dengan bangganya pada hari pertama sekolah.

    “Adanya muzik dan gendang, terdapat banyak bunyi-bunyian. Ia membuat kita merasa begitu istimewa,” mengimbas kembali kenangan Kantabai More, 70, yang menyukai apabila cucunya membantu beliau melaksanakan kerja sekolahnya.

    “Kami sama-sama berkumpul dan belajar, membaca, menulis, ketawa dan berkongsi cerita. Saya mempunyai ilmu sekarang,” jelas beliau.

    Sekolah ini juga telah menjadi tumpuan utama bagi interaksi sosial dan telah meningkatkan keakraban di kalangan wanita. Ia juga mengadakan hari sukan baru-baru ini di mana nenek-nenek bermain sorok-sorok, dan juga terlibat dalam beberapa tarian tradisional dan beberapa permainan-permainan yang lainnya yang tidak membebankan mereka.

    Bagi menyambut ulangtahun pertama sekolah itu, sebuah acara besar-besaran sedang dirancang. Lebih daripada 500 orang dari penduduk kampung berdekatan, termasuk 100 orang nenek-nenek, dijangka menghadiri sambutan itu, kata Bangar memberitahu AFP.

    “Kami akan meraikan mereka atas sumbangan mereka yang tidak ternilai terhadapkampung-kampung kami dan kehidupan kita. Mereka adalah seperti berlian dan kita harus menghargai mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda