Nepal buka semula Everest

KATHMANDU, 31 JULAI – Nepal hari ini membuka semula gunung-gunungnya – termasuk Everest – bagi pendakian dan pengembaraan musim luruh dalam usahanya merancakkan sektor pelancongan yang terjejas teruk, kata pegawai hari ini, di sebalik ketidakpastian mengenai koronavirus.

Negara Himalaya itu menutup sempadannya pada Mac sejurus sebelum musim bunga yang sibuk, ketika beratus-ratus pendaki gunung bersiap sedia mengunjunginya, justeru menjejaskan pekerjaan dan berjuta-juta pendapatan negara.

Sekatan seluruh negara dibatalkan minggu lalu dan Nepal kini terbuka untuk aktiviti pelancongan, termasuk pendakian gunung dan pengembaraan, kata MiraArcharya dari jabatan pelancongan memberitahu AFP.

Kerajaan akan membenarkan pesawat antarabangsa mendarat di negara itu bermula 17 Ogos. Keputusan dibuat di sebalik lebih 1,000 jangkitan baharu koronavirus dilaporkan minggu ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 19,547 kes.

Menurut Archarya, para pegawai ‘sedang merangka’ protokol keselamatan, termasuk berapa lama pelawat perlu dikuarantin sebaik tiba dan juga perkara-perkara lain. –AFP

Gambar fail 2018 menunjukkan pendaki berkhemah di kaki gunung Everest. Nepal hari ini memutuskan akan membuka semula gunung-gunungnya termasuk Everest. -AFP