Saturday, January 18, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nepal haramkan TikTok sebab ganggu keharmonian sosial

    KATHMANDU, 14 NOV – Kerajaan Nepal memutuskan untuk mengharamkan aplikasi media sosial popular TikTok pada kelmarin, dengan mengatakan ia mengganggu ‘keharmonian sosial’ di negara itu.

    Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat Kabinet. Menteri Luar Narayan Prakash Saud berkata aplikasi itu akan diharamkan serta-merta.

    “Kerajaan telah memutuskan untuk mengharamkan TikTok kerana ia adalah perlu untuk mengawal penggunaan platform media sosial yang mengganggu keharmonian sosial, muhibah dan aliran bahan tidak senonoh,” kata Saud.

    Beliau berkata, untuk menjadikan platform media sosial bertanggungjawab, kerajaan telah meminta syarikat itu mendaftar dan membuka pejabat perhubungan di Nepal, membayar cukai dan mematuhi undang-undang dan peraturan negara.

    Tidak jelas apa yang mencetuskan larangan itu atau jika TikTok enggan mematuhi permintaan Nepal. Syarikat itu tidak segera membalas e-mel yang meminta komen.

    TikTok, yang dimiliki oleh ByteDance China, telah menghadapi penelitian di beberapa negara kerana kebimbangan bahawa Beijing boleh menggunakan aplikasi itu untuk mengumpul data pengguna atau memajukan kepentingannya.

    Negara-negara termasuk Amerika Syarikat, Britain dan New Zealand telah melarang aplikasi itu pada telefon kerajaan walaupun TikTok berulang kali menafikan bahawa ia pernah berkongsi data dengan kerajaan China dan tidak akan berbuat demikian jika diminta. – AP

    Nepal telah mengharamkan aplikasi TikTok dengan mengatakan ia mengganggu ‘keharmonian sosial’ di negara itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda