Nepal keluarkan permit mendaki untuk musim luruh

KATHMANDU, 1 SEPT – Nepal kelmarin mula mengeluarkan permit untuk pendaki melakukan aktiviti pendakian di gunung Himalaya.

Setakat ini dua kumpulan telah memperoleh permit untuk mendaki Gunung Manaslu, puncak kelapan tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,163 meter.

“Satu kumpulan terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita manakala satu lagi pasukan dianggotai sepuluh pendaki lelaki,” menurut kenyataan Jabatan Pelancongan.

Sebilangan besar pendaki cuba menawan Gunung Himalaya ketika musim bunga, tetapi ada yang mencuba nasib pada musim luruh.

Imagine Nepal Trek and Expedition, sebuah syarikat ekspedisi di Nepal, kini sedang mengatur ekspedisi membabitkan pasukan yang terdiri daripada 15 orang.

Pengarah syarikat Mingma Gyalje Sherpa memberitahu Xinhua bahawa pendaki China akan mengetuai pasukan ekspedisi. – Bernama