Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nepal sedia berunding dengan Malaysia

    KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Meskipun berdepan kemelut penipuan membabitkan pekerja migran Nepal baru-baru ini, kerajaan Nepal bersedia meneruskan perbincangan berhubung perjanjian pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja dengan Malaysia, selain melindungi kebajikan serta hak-hak pekerjanya di sini.

    Kuasa Usaha Nepal di Malaysia, Kumar Raj Kharel, berkata perjanjian itu akan memberi panduan lanjut yang lebih jelas dalam mengatur pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Nepal.

    “Kami berharap ia (MoU) boleh menjadi satu alat bagi melindungi hak-hak pekerja kami,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual di sini hari ini.

    Pusingan pertama perbincangan berhubung kerjasama buruh antara Nepal dan Malaysia telah berlangsung di Kathmandu pada 20 dan 21 Feb 2017. Kumar Raj berkata MoU tersebut tidak dipersetujui ketika itu kerana Malaysia mempunyai keraguan termasuk berkaitan kos penghantaran pulang, siapa yang patut bertanggungjawab membiayai tiket penerbangan, bayaran visa dan caj perkhidmatan.

    “Kami (Nepal) telah dimaklumkan oleh para pegawai kementerian bahawa terdapat kemajuan di pihak Malaysia dan sanggup menandatangani MoU serta memuktamadkannya dengan menyelesaikan perbezaan. Para pegawai kami sudah bersedia untuk datang ke sini sebaik sahaja mendapat undangan daripada kerajaan Malaysia bagi mengadakan rundingan serta menandatangani perjanjian itu.

    “Malaysia masih menjadi satu destinasi popular pada pandangan sejumlah 500,000 pekerja Nepal dalam kalangan negara berbilang kaum, budaya dan etnik serta mempunyai iklim yang lebih baik berbanding negara-negara Timur Tengah,” katanya.

    Pada Mei, terdapat laporan bahawa penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia telah dihentikan buat sementara waktu oleh kerajaan Nepal kerana pekerja terbabit telah dikenakan bayaran terlalu tinggi menerusi perkhidmatan berkaitan oleh syarikat swasta yang dilantik oleh kerajaan Malaysia sebelum ini.

    Susulan itu, kerajaan Nepal telah mengambil tindakan keras ke atas pelbagai institusi yang mengutip bayaran tambahan daripada pekerja migran. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda