Netanyahu diperintah hadir perbicaraan kes rasuah hari pertama

BAITULMAQDIS, 21 MEI – Mahkamah Israel semalam memerintahkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu hadir pada hari pertama perbicaraan kes rasuahnya yang dijadual 24 Mei ini, lapor agensi berita Xinhua.

Pada Selasa, Mahkamah Daerah Baitulmaqdis menolak permohonan peguam yang mewakili Netanyahu untuk mengecualikan beliau hadir pada hari itu.

Peguam berpendapat kehadiran Netanyahu tidak perlu kerana beliau telah dimaklumkan mengenai ‘dakwaan ini beberapa kali,’ dan lima pengawal peribadi diperlukan untuk memastikan keselamatan Netanyahu, membabitkan kos yang tinggi perlu ditanggung kerajaan.

Pada Ahad, pemimpin paling lama berkhidmat di Israel itu mengangkat sumpah jawatan selepas berjaya membentuk kerajaan perpaduan dengan bekas pesaingnya, Benny Gantz, pemimpin parti Biru Putih. – Bernama