Netanyahu keras kepala

BAITULMAQDIS, 15 Mei – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap berkeras dengan menyelar kenyataan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kerana menuduh negaranya sebagai ‘negara pengganas’ dan ‘pembunuh’ selepas tentera negara itu membunuh berpuluh-puluh rakyat Gaza di sempadan Gaza.

Erdogan kelmarin menyelar Israel dan menuduh negara itu sebagai ‘negara pengganas’ dan ‘pembunuh’ selepas tentera negara itu membunuh sekurang-kurangnya 60 penduduk Palestin di sempadan Gaza.

Dalam satu daripada kecaman paling kerasnya setakat ini, Erdogan juga mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari susulan kematian itu, diikuti bantahan besar-besaran di Istanbul Jumaat ini.

Ribuan penunjuk perasaan berarak ke tengah ibu kota ini bagi mengutuk kekejaman menjurus pertumpahan darah itu ketika Amerika Syarikat (AS) memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, tidak mengendahkan kemarahan meluas dunia Islam.

“Israel mencetuskan keganasan dalam negara. Israel adalah negara pengganas,” kata Erdogan ketika berucap di hadapan pelajar Turki di London yang disiarkan televisyen negara itu.

Benjamin Netanyahu ketika menyampaikan ucapannya semasa pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis pada 14 Mei 2018. – AFP

“Apa yang dilakukan Israel adalah satu genosid. Saya mengutuk drama kemanusiaan ini, genosid, tidak kira pihak mana, sama ada Israel atau AS,” tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Bekir Bozdag memberitahu media di sini, Turki memanggil semula dutanya ke AS dan Israel ‘untuk rundingan.’

Bozdag juga berkata, Turki memanggil satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) Jumaat ini, namun tidak memberi butiran lanjut berhubung formatnya.

Pertempuran ganas meletus sepanjang sempadan Gaza ketika AS membuka kedutaannya di Baitulmaqdis dalam upacara yang dihadiri delegasi Rumah Putih dan pejabat Israel.

Erdogan dan beberapa pegawai Turki berulang kali mengutuk keputusan AS memindahkan kedutaan mereka dan memberi amaran ia bakal mencetuskan ketegangan.

Presiden Turki juga mengumumkan bahawa dia memanggil satu mesyuarat besar-besaran Jumaat ini untuk membantah di Istanbul yang memiliki kapasiti lebih sejuta penduduk.

Erdogan tahun lepas telah mengadakan sidang kemuncak negara-negara Islam untuk mengecam keputusan Presiden AS, Donald Trump kerana mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – AFP