Netcom taja 15 unit peralatan pembelajaran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Netcom Computer House juga telah menyumbangkan sebanyak 15 unit peralatan pembelajaran sebagai usaha menyokong pembelajaran dalam talian kepada pelajar yang memerlukan di negara ini.

Sumbangan telah diterima oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Pengangkutan dan Infolomunikasi dan pegawai-pegawai Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) serta tetamu yang lain.

Sumbangan tersebut adalah bagi menyokong inisiatif bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi dan pihak AITI yang mengungkayahkan kempen derma untuk menyokong pembelajaran dalam talian serta membantu para pelajar yang memerlukan semasa pandemik COVID-19 di negara ini.

Kempen derma untuk mengumpulkan peranti-peranti ICT bagi menyokong pembelajaran dalam talian untuk pelajar yang memerlukan dibuka sehingga 14 Mei 2020.

Sumbangan boleh disalurkan di Blok A, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, Jalan Muara atau IBTE Kamus Jefri Bolkiah, Kuala Belait pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:30 petang.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ketika menerima sumbangan daripada Netcom Computer House. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan