TRES CANTOS, SEPANYOL, 23 NOV – Syarikat penstriman video dalam talian, Netflix membuka studio filem baharu di Sepanyol, justeru menambah dua kali ganda kapasiti penerbitan di negara yang telah menjadi hab penciptaan audiovisual di Eropah.
Studio baharu itu termasuk lima set penggambaran dan kira-kira 30 suite penyuntingan di La Ciudad de la Tele, kompleks penerbitan besar di bandar Tres Cantos, utara Madrid.
Netflix telah menambah dua kali ganda kapasiti penerbitannya di Sepanyol dengan 10 set keseluruhannya termasuk ruang untuk penerbitan, mekap, dandanan rambut dan bilik persalinan, kata syarikat Amerika Syarikat (AS) itu dalam satu kenyataan.
Platform hiburan itu merasmikan studio pertamanya di luar AS di tapak yang sama pada 2019, sejurus selepas drama siri Sepanyol La Casa de papel menjadi sensasi pertama global dalam bahasa lain selain Bahasa Inggeris.
Hab Tres Cantos menjadi tapak penerbitan utama Netflix di Kesatuan Eropah, dengan lebih 30 filem dan siri drama diterbitkan di sana pada 2022 termasuk Welcome to Eden’dan Elite. – AFP
