Netflix, Digital ASEAN WEF bekerjasama

KUALA LUMPUR, 16 OGOS – Netflix berikrar untuk bekerjasama dengan kumpulan kerja Digital ASEAN Forum Ekonomi Dunia (WEF) untuk membantu masyarakat dan kerajaan di Asia Tenggara membangunkan kemahiran kreatif dan digital serta keupayaan dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0.

Netflix menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ikrar tersebut adalah sebahagian daripada Program Visi Kemahiran Digital ASEAN 2020 WEF, projek awam-swasta melibatkan gabungan organisasi bagi melatih lebih 20 juta pekerja dalam kemahiran digital pada 2020.

“Inisiatif berkenaan mendapat maklum balas segera apabila berdasarkan kaji selidik WEF ke atas 56,000 belia ASEAN baru-baru ini mendapati 52 peratus daripada mereka yakin mengenai keperluan meningkatkan kemahiran secara berterusan agar berjaya dalam pasaran pekerjaan yang mengalami perubahan.

“Selain itu, mereka meletakkan ‘kreativiti dan inovasi’ sebagai kemahiran paling penting untuk masa depan,” katanya.

Pengarah Urusan Netflix Asia-Pasifik, Yu-Chuang Kuek, berkata mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam industri kreatif; celik keselamatan dan digital dalam talian, selain memahami prinsip rangka kerja tadbir urus yang aktif adalah penting bagi menentukan kejayaan inisiatif itu seperti Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN. – Bernama

Netflix akan bekerjasama dengan Digital ASEAN WEF untuk membantu membangunkan kemahiran kreatif dan digital dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0. – AFP