NETFLIX lancar UI dalam Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR – Netflix melancarkan antara muka penggunanya (UI) dalam Bahasa Melayu membolehkan ahli di Malaysia menavigasi UI, membaca tajuk dan sinopsis serta menonton rancangan dan filem dengan sari kata dan alih suara dalam  Bahasa Melayu.

“Netflix percaya dengan memberi kawalan pengalaman hiburan sepenuhnya kepada ahli, sudah pasti akan meningkatkan pengalaman tontonan dan menepati cita rasa rakyat Malaysia yang lebih suka menggunakan Netflix dalam bahasa kebangsaan mereka,” kata jurucakap Netflix ketika mengumumkan fitur baharu Netflix bagi ahlinya di Malaysia menggunakan aplikasi Zoom.

“Opsyen UI dalam Bahasa Melayu akan memberi sesebuah keluarga lebih fleksibiliti kerana ahli boleh membuat pilihan ke profil Bahasa Melayu daripada pilihan bahasa yang menawarkan 30 bahasa dalam bahagian urus profil di peranti mereka, menurutnya.

Netflix juga turut menawarkan kemudahan Bahasa Melayu dari daftar masuk ke baris carian, koleksi serta pembayaran dan boleh didapati di semua platform termasuk di telefon, tablet, desktop, TV, malah playstation,” kata jurucakap Netflix.

Menurutnya, ahli Netflix boleh menetapkan sehingga lima profil dalam setiap akaun dan setiap profil boleh mempunyai tetapan bahasa sendiri dan juga ahli Netflix di luar Malaysia juga mempunyai pilihan untuk menukar antara muka pengguna mereka kepada Bahasa Melayu.

Satu lagi ciri lain yang terdapat di Netflix adalah carta 10 teratas yang diperkenalkan tahunlepas iaitu memberitahu filem terbaik semasa atau program di Malaysia serta ia juga turut mengumumkan bahawa mereka melakukan beberapa perkara lain seperti pengguna boleh menyesuaikan sari kata seperti ia boleh menukar fon. – Bernama

Netflix melancarkan antara muka penggunanya (UI) dalam Bahasa Melayu yang dapat memudahkan ahli di Malaysia. – Agensi