NEW YORK, 13 OKT – Brooklyn Nets memutuskan hari ini untuk menggantungkan pemain bintangnya, Kyrie Irving daripada sesi latihan dan perlawanan dalam musim NBA yang bakal bermula minggu hadapan kerana keengganannya mendapatkan vaksin COVID-19.
“Disebabkan situasi sekarang dan selepas membuat pertimbangan, kami memutuskan Kyrie Irving tidak akan bermain atau menjalani latihan bersama pasukan sehingga dia layak sepenuhnya untuk membuat penyertaan,” menurut pengurus besar Nets, Sean Marks.
“Kyrie sudah membuat keputusan peribadi, dan kami menghormati pilihan setiap individu.
“Ketika ini, pilihannya telah membataskannya untuk bersama pasukan secara sepenuh masa, dan kami tidak akan membenarkan pemain dalam pasukan untuk menyertai kami secara separuh masa.”
Irving, 29, merupakan sebahagian daripada bintang Nets yang merangkumi Kevin Durant dan James Harden.
Disebabkan penularan wabak yang masih berleluasa, New York telah melaksanakan peraturan kesihatan dan keselamatan baharu yang mana tidak membolehkan atlet yang belum mendapatkan vaksin untuk menyertai latihan atau perlawanan.
Dalam sidang media secara maya semalam, Marks bersetuju dengan cadangan bahawa Nets ‘tiada pilihan lain’ untuk mengetepikan Irving.
“Ya,” kata Marks. “Dia mempunyai pilihan yang perlu dibuat dan di sudah membuat keputusan. Tugas saya di sini adalah untuk membuat pilihan terbaik untuk pasukan ini secara keseluruhannya.
“Tidak semua keputusan dibuat akan dipersetujui dan disenangi. Ia adalah keputusan yang sukar.
“Saya pasti ia juga sukar untuk Kyrie untuk memilih keputusan untuk tidak bersama rakan-rakannya.”
Marks berkata keputusannya dibuat selepas berunding dengan pemilih Nets, Joe Tsai.
“Kami sudah meneliti segalanya. Apabila awda membuat keputusan seperti ini ia bukan satu keputusan terburu-buru,” tambah Marks.
Nets akan memulakan musim mereka menentang juara NBA, Milwaukee Bucks Selasa depan. – AFP