Neuer ‘rasa jengkel’ dengan Bayern

BERLIN, 19 APRIL Ketua pasukan Bayern Munich dan penjaga gawang, Manuel Neuer memberitahu media Jerman hari ini dia kini ‘merasa jengkel’ dengan rundingan sambungan kontraknya, yang dilaporkan terbantut sejak beberapa minggu.

“Semua perbincangan yang saya pernah buat sejak saya berada di sini adalah sulit…tidak pernah bocor,” pemain berusia 34 tahun memberitahu harian Jerman, Bild.

“Tetapi sekarang, perincian mengenai perbincangan terkini sentiasa terpapar di media, dan kebanyakannya adalah tidak benar. Ia membuatkan saya merasa jengkel. Ia adalah sesuatu yang saya tidak terbiasa di Bayern.”

Penjaga gol veteran memberikan komen di tengah-tengah laporan meluas bahawa rundingan kontraknya telah tamat.

Jika rundingan gagal, ketua pasukan, Neuer mungkin akan pergi meninggalkan Bayern secara percuma pada bulan Jun dan telah menarik perhatian beberapa buah kelab di Liga Perdana Inggeris.

Manuel Neuer dilaporkan ‘merasa jengkel’ dengan rundingan sambungan kontraknya yang terbantut sejak beberapa minggu. – AP

Menurut Bild, Neuer dan ejennya Frank Kroth meminta perjanjian selama lima tahun, dengan gaji sebanyak 20 juta euro bagi satu musim.

Dalam temu bual hari ini, Kroth menafikan butiran tersebut dan berkata dia tidak ‘berhadapan dengan kelab dengan permintaan yang akan membebankan ketika krisis koronavirus’.

Dengan perlawanan Bundesliga yang kini digantungkan kerana koronavirus, Bayern baru-baru ini telah menyambung kontrak pemain penyerang, Thomas Mueller dan ketua jurulatih Hansi Flick, sehingga tahun 2023.

Neuer memuji Flick sebagai ‘jurulatih super’ dan berkata bahawa sambungan kontrak jurulatih berusia 55 tahun itu telah meyakinkannya untuk kekal bersama Bayern.

“Saya mahu mempunyai kontrak dalam situasi sama-sama menang untuk saya dan Bayern. Saya mahu beraksi, berada di sana untuk pasukan…memberikan 100 peratus,” katanya. “Termanya mesti tepat,” tambahnya. Neuer, membantu Jerman memenangi Piala Dunia 2014, telah dinamakan sebagai penjaga gol tahunan sebanyak empat kali.

Dia turut mempunyai rekod tanpa bolos sebanyak 191 daripada 373 penampilan untuk Bayern sejak berpindah dari Schelke pada tahun 2011 dan membuat 92 penampilan buat Jerman. – AFP