Neurotoksin punca gangguan kesihatan

OTTAWA, 20 SEPT – Neurotoksin dalam racun serangga yang digunakan untuk membunuh nyamuk berkemungkinan besar adalah punca komplikasi kesihatan misteri dialami beberapa diplomat Kanada di Cuba, lapor sebuah kajian terbaharu semalam.

Berpuluh diplomat Kanada, pegawai Amerika Syarikat (AS) dan ahli keluarga mereka mengalami masalah kesihatan dikenali sebagai ‘Sindrom Havana’ yang pertama kali dikesan pada 2016 dan selepas mengalami beberapa simptom antaranya pening, lesu dan sakit kepala, selain komplikasi pendengaran serta penglihatan. Pihak berkuasa Kanada dan AS mengesyaki ia adalah satu bentuk serangan menggunakan sejenis senjata akustik yang membawa kepada ketegangan diplomatik antara Washington dan negara kepulauan Carribbean itu. Ottawa bagaimanapun merumuskan bahawa perkara berkenaan sebagai ‘mustahil’.

Penyelidik di Pusat Pemulihan Otak di Halifax, bersama Universiti Dalhousie dan Pihak Berkuasa Kesihatan Nova Scotia memetik ‘pendedahan terhadap neurotoksin’ dengan melihat bagaimana bahagian otak yang bertanggungjawab untuk memori, konsentrasi serta kitaran tidur boleh menjadi rosak, selain mengenal pasti ejen bertanggungjawab menyebabkan keadaan itu. “Ini tiada kena mengena dengan serangan akustik,” kata rumusan kajian oleh majalah berita Radio Kanada, Enquete yang turut menyiarkan laporan terbabit di internet.

“Ejen saraf yang digunakan dalam wap untuk menghalau nyamuk berkemungkinan besar adalah punca semua gangguan kesihatan itu,” kata kajian berkenaan.

Seramai 26 individu mengambil bahagian dalam kajian termasuk sekumpulan komuniti yang tidak pernah bermastautin di Cuba dan menjalani beberapa siri ujian darah serta imbasan otak. – AFP