Neville mahu pemain tingkatkan kemahiran

LONDON, 23 APRIL – Bekas kapten Manchester United, Gary Neville percaya pemain bola sepak patut mencuba untuk belajar kemahiran baharu semasa perintah berkurung dan perlawanan digantung disebabkan koronavirus untuk bersiap sedia menghadapi potensi masalah kewangan.

Krisis ekonomi disebabkan oleh penggantungan secara tiba-tiba perlawanan akan dirasai di seluruh peringkat sukan.

Dan Neville, yang memegang saham pasukan divisyen keempat Salford City, menggalakkan pemain untuk menggunakan masa mereka dengan sebaiknya dan menjangkakan pemotongan gaji dan pemendekan tempoh kontrak yang ditawarkan dalam beberapa tahun akan datang.

“Jika saya seorang pemain bola sepak pada hari ini, saya akan belajar melalui online, menyambung pelajaran Sarjana Muda, belajar BTEC (kelayakan) dan cuba untuk mendapatkan dwi kemahiran. Ia bukan kerana panik, ia bukan menunjukkan karier mereka telah berakhir, ia cuma perancangan,” Neville memberitahu Sky Sports.

“Pekerjaan dalam bidang bola sepak akan berkurangan, wang akan berkurangan, dan pemain akan pergi dan membuat pekerjaan tahun hadapan atau membuat sesuatu tahun hadapan selain daripada bola sepak. Itu hakikatnya, ia akan berlaku.

Gary Neville menggalakkan pemain untuk mencari kemahiran baharu bagi menghadapi potensi kemerosotan kewangan dan merasakan pekerjaan dalam bidang bola sepak akan menjadi sangat terhad.- AFP

“Mereka perlu merancang dari sekarang. Mereka perlu berfikir melakukan perkara lain, dan akan melakukan kemahiran yang berbeza, mencari pekerjaan yang mereka mampu lakukan dalam masa yang singkat untuk memberikan wang kepada keluarga mereka.”

Empat divisyen teratas di England masih merancang untuk menghabiskan musim mereka apabila kerajaan membatalkan sekatan yang dikenakan.

Sebarang kemungkinan pemain akan kembali bergantung kepada ujian terhadap pemain tetapi Neville kurang yakin, mengkritik kerajaan Britain kerana kekurangan peralatan ujian COVID-19.

“Ujian tidak masuk akal,” katanya.

“Tidak mungkin Liga Perdana Inggeris mewar-warkan kepada orang ramai bahawa mereka mempunyai akses kepada berpuluh-puluh ribu peralatan ujian sedangkan pekerja barisan hadapan pun tidak memilikinya.”- AFP