Neville pengurus baharu Inter

MIAMI, 19 JAN – Beberapa jam selepas meninggalkan tugas sebagai pengurus pasukan wanita Engand, Phil Neville diumumkan sebagai jurulatih Inter Miami, kelab Major League Soccer (MLS) milik bersama bekas rakan sepasukannya di England dan Manchester United, David Beckham.

Awal bulan ini, Miami telah memecat pengurus mereka, Diego Alonso selepas melalui kempen mengecewakan di MLS yang menyaksikan kelab itu hanya memenangi tujuh daripada 23 perlawanan.

Neville, 43, menjadi pengurus pasukan wanita England sehinggalah meletakkan jawatan sebelum diumumkan sebagai jurulatih baharu Miami. Beliau sepatutnya meninggalkan tugas itu pada Julai tahun lalu selepas kontraknya tamat.

“Saya teruja dengan peluang dilantik sebagai jurulatih Inter Miami dan mahu bekerjasama bersama keseluruhan pemilik kelab,” kata Neville.

“Kelab ini masih baharu dan saya komited untuk mencabar diri saya, pemain dan setiap mereka di sekeliling saya untuk membentuk pasukan yang lebih kompetitif.” – AFP

Gambar fail jurulatih England, Phil Neville semasa perlawanan final Piala Dunia Wanita Perancis 2019 antara England dan Sweden, pada 6 Julai 2019.