New Caledonia dilanda gempa kuat

NOUME, 5 Dis – Gempa bumi kuat 7.5 magnitud melanda dekat New Caledonia hari ini sehingga mencetuskan amaran tsunami dan pemindahan kecemasan di seluruh kawasan di Pasifik Selatan itu namun tiada laporan segera tentang kerosakan serius atau pun kecederaan.

Pihak berkuasa mengatakan gempa bumi itu, yang diikuti dengan sekurang-kurangnya 10 kejutan lanjur kuat berpusat kira-kira 170 kilometer tenggara Kepulauan Loyalty, New Caledonia pada kedalaman 10 kilometers.

Ombak tsunami dicatatkan bergerak keluar dari pusat gempa, yang mengakibatkan para penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi dan lonjakan setinggi 72 sentimeter di pulau Tanna, Vanuatu.

Para penduduk pulau berkata gempa bumi awal menggegarkan dinding bangunan dan di beberapa tempat menjadikan laut berbuih.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada awalnya memberi amaran ketinggian ombak sehingga tiga meter mungkin dijangkakan dan gempa bumi dengan magnitud itu mungkin mengakibatkan kemusnahan.

Namun pusat itu kemudian melaporkan ombak yang diukur oleh para pemerhatinya di sekitar rantau itu hanya mencecah kira-kira 72 sentimeter.

Para pegawai pertahanan awam di Noumea berkata ombak tsunami telah melanda beberapa bahagian Kepulauan Loyalty dan Isle of Pines, tetapi tidak mengakibatkan kerosakan.

“Laporan dari kawasan itu mengesahkan bahawa kekuatan tsunami telah menurun mendadak dan tidak ada lagi risiko besar kepada penduduk. Tidak ada laporan tentang kecederaan atau kerosakan,” menurut jurucakap jabatan pertahanan awam.

Hampir tiga jam selepas gempa bumi, Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang beribu pejabat di Hawaii melaporkan ancaman yang berpunca daripada gempa bumi awal ‘kini telah berlalu’.

Gempa bumi telah mencetuskan sistem amaran kecemasan di New Caledonia, yang mana para penduduk telah menerima pesanan ringkas yang mengarahkan mereka supaya mencari tempat perlindungan dengan segera.

Basile Citre, seorang pegawai perbandaran di Pulau Loyalty, Mare, berkata dia sedang dalam mesyuarat di dewan bandar apabila dia merasakan gegaran kecil yang diikuti dengan gegaran lebih besar. – AFP