NEW DELHI, INDIA, 23 OKT – New Delhi diselubungi jerebu beracun hari ini apabila tahap pencemaran udara di sebahagian bandar meningkat kepada tahap ‘teruk’, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan udara di negara itu sebagai ‘kotor’.
Asap dari pembakaran perladangan, asap kenderaan dan pengeluaran industri – bergabung dengan suhu lebih sejuk dan angin perlahan yang memerangkap bahan pencemaran di bandar – menukar udara di ibu negara India kepada persekitaran beracun setiap musim sejuk.
Indeks kualiti udara di 36 tapak pengawasan pencemaran Delhi – yang mengawasi partikel PM2.5 dan PM10 memasuki saluran darah dan organ penting – adalah di antara 282 dan 446, mendesak tahap meningkat kepada kategori ‘teruk’, kata Lembaga Kawalan Pencemaran.
Kategori ‘baik’ adalah di antara 0-50, tambah badan pengawas alam sekitar kerajaan.
Satu ‘pertambahan besar dalam jumlah kebakaran tunggul jerami’ kepada 1,213 di negeri Haryana dan Punjab adalah yang tertinggi pada musim ini dan membentuk 17 peratus daripada tahap PM2.5 di Delhi, tambah Sistem Ramalan Cuaca dan Penyelidikan Kualiti Udara hari ini.
“Kemerosotan kualiti udara selanjutnya dijangka berlaku selama dua hari,” kata SAFAR.
Pembakaran pada musim ini bermula lebih awal disebabkan petani menyemai dan menuai lebih awal di tengah kebimbangan kekurangan pekerja semasa pandemik koronavirus, kata pegawai.
Ketua pegawai perubatan bandar Gurugram berhampiran New Delhi, Virender Yadav, memberitahu Times of India semalam bahawa beberapa pesakit COVID-19 yang sembuh sedang mengalami masalah pernafasan semula yang dicetuskan oleh pencemaran udara yang teruk. – AFP