New Delhi laksana sekatan seminggu, jangkitan virus memuncak

NEW DELHI, 19 APRIL – Bandar India, New Delhi akan mengenakan sekatan pergerakan seminggu lamanya bermula malam ini, kata para pegawai, ketika bandar mega itu bergelut untuk membendung peningkatan mendadak dalam jangkitan kes COVID-19 dengan hospital-hospital kekurangan katil dan bekalan oksigen.

Negara dengan 1.3 bilion penduduk itu melaporkan rekod tertinggi jangkitan sebanyak 273,810 hari ini – lima hari berturut-turut dengan lebih 200,000 kes – membawa jumlah keseluruhannya kepada 15.06 juta.

Di Delhi – bandar paling teruk terjejas di India – melaporkan 25,500 kes baharu kelmarin, dengan hampir satu pertiga daripadanya diuji positif koronavirus.

“Sistem kesihatan Delhi berada pada kemuncak baharu. Situasi COVID-19 sangat kritikal,” kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal ketika berucap di televisyen.

“Jika kita tidak mengenakan sekatan pergerakan sekarang, kita akan menyaksikan bencana lebih besar. Bermula malam ini, sekatan akan dikenakan sehingga Isnin depan.”

Menurutnya perniagaan akan ditutup dan pergerakan di sekitar bandar utara 20 juta penduduk itu mengehadkan perkhidmatan penting, dari 10 malam ini kepada 5 pagi Isnin berikutnya.

“Sekatan pergerakan itu tidak akan menamatkan pandemik cuma memperlahankannya sahaja. Kami akan menggunakan sekatan pergerakan seminggu panjang untuk meningkatkan penjagaan kesihatan kami,” katanya, menambah bahawa sistem penjagaan kesihatan masih ‘di bawah bebanan teruk’ dan ‘mencapai hadnya’.

Pada tujuh hari terakhir, India telah merekodkan lebih 1.4 juta kes – satu peningkatan sebanyak 64 peratus pada minggu sebelumnya, menurut data yang dikompilasikan AFP. – AFP

Trak tangki oksigen dilihat berada di atas kereta api khas ‘Ekspres Oksigen’ yang akan membawanya kepada negeri-negeri yang memerlukan di tengah-tengah pandemik koronavirus di Navi Mumbai pada 19 April. – AFP