New Delhi terpaksa ‘berlemas’

NEW DELHI, 8 Nov – Pencemaran udara di New Delhi mencecah tahap berbahaya hari ini selepas malam persembahan bunga api bersempena Sambutan Deepavali, sekalipun Mahkamah Tinggi berusaha menghalang pesta yang menghasilkan asap yang mencemarkan udara.

Monumen-monumen utama termasuk India Gate dan Red Fort terselindung di sebalik asap jerebu bertoksik dan orang ramai mengenakan topeng tatkala jarak penglihatan di jalan-jalan raya utama menurun pada kira-kira 50 meter.

Deepavali merupakan festival Hindu terbesar yang disambut setiap tahun di mana pada lazimnya bunga api dimainkan.

Bacaan kualiti udara pada awal pagi di sekitar Delhi – sebuah bandar utama dunia yang paling tercemar, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia – mencecah kualiti bacaan 526, menurut konsulat Amerika Syarikat, yang membuat pemantauan sendiri bagi tahap pencemaran di bandar berkenaan.

Indeks kualiti udara yang digunakan oleh konsulat itu merupakan campuran sukatan gas beracun dan zarah halus bawaan udara.

Mana-mana bacaan melebihi 500 boleh mengakibatkan masalah penyakit jantung dan paru-paru yang serius, di mana doktor menasihatkan agar penduduk tidak melakukan kegiatan luar.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah bahawa hanya bunga api mesra alam sahaja dibenarkan untuk dijual di Delhi, dalam langkah untuk mengurangkan masalah pencemaran udara yang telah menjejaskan reputasi bandar itu di mata antarabangsa.

Namun, 20 juta penduduk yang tinggal di ibu negara itu tidak mengendahkan keputusan itu.

Mahkamah turut memerintahkan bahawa bunga api hanya boleh digunakan antara jam 8 malam hingga 10 malam, namun bunyi dentumannya masih bergema sekitar kawasan bandar selepas waktu tengah malam. – AFP

Gambar diambil pada 5 November lalu menunjukkan sebahagian pejalan kaki terpaksa memakai penutup hidung bagi melindungi kesihatan mereka dari masalah jerebu di New Delhi. – AFP