New South Wales pertimbang kuat kuasa lockdown

SYDNEY, 27 MAC – New South Wales (NSW) Australia mempertimbangkan untuk mengenakan perintah ‘lockdown’ selepas negeri itu merekodkan 145 kes COVID-19 dan sumber jangkitan tidak dapat dikenal pasti, lapor agensi berita Xinhua pada Jumaat.

Sehingga 6:30 pagi Jumaat, terdapat 13 kematian daripada 2,985 kes  disahkan di Australia, 186 kes baharu dilaporkan sejak 3 petang Khamis, menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Australia.

Jabatan Kesihatan NSW pula mengumumkan terdapat 186 kes baharu COVID-19, membawa jumlah kes disahkan kepada 1,405. Ia termasuk 145 jangkitan antara komuniti namun, sumbernya tidak dapat dipastikan.

“Ia menunjukkan peningkatan jangkitan daripada sumber yang tidak diketahui,” kata Perdana Menteri NSW Gladys Berejiklian.

Tambah beliau situasi itu amat membimbangkan dan bersedia untuk melaksanakan lockdown jika keadaan memerlukan.

Katanya lagi, tiada kapal persiaran dibenarkan menurunkan penumpang  di NSW sehingga diberitahu kelak dan lebih ramai anggota polis akan dikerahkan untuk mengadakan rondaan. – Bernama