New York dikenakan perintah berkurung

NEW YORK, 2 JUN – Perintah berkurung dilaksanakan di New York berikutan perusuh menyerbu masuk gedung di pusat Manhattan dengan menyasarkan beberapa kedai jenama terkemuka di bandar raya itu.

Gedung fesyen Michael Kors di Fifth Avenue antara butik berjenama yang terjejas, selain Nike, Lego dan beberapa kedai elektronik.

Berikutan kejadian itu, perintah berkurung terpaksa dilaksanakan mulai jam 11 malam hingga 5 pagi, menurut wartawan AFP.

Kumpulan pemuda kelihatan bergerak dari satu blok ke blok yang lain di daerah itu, yang sebelum ini padat dengan pelancong sebelum munculnya pandemik COVID-19.

Pihak polis turut menyekat semua laluan di daerah itu bagi mengekang aktiviti rusuhan di situ.

Penduduk melalui sebuah kedai yang dipecah masuk di Lower Manhattan pada 1 Jun 2020 selepas demonstrasi berhubung kematian George Floyd di New York. – AFP

Dalam perkembangan lain, gedung di selatan Manhattan turut terjejas akibat dimasuki oleh perusuh, menurut jurugambar AFP.

Pihak polis bagaimanapun belum mengesahkan kejadian berkenaan dan mereka cuma memberitahu, banyak gedung yang dipecah masuk dengan ratusan tangkapan dibuat di sekitar bandar raya itu.

Perintah berkurung itu diumumkan beberapa jam sebelum berlakunya insiden berkenaan oleh Gabenor New York, Andrew Cuomo, berikutan perhimpunan tunjuk perasaan dan rusuhan pada hujung minggu lalu.

Sementara itu, datuk bandar New York, Bill de Blasio semalam berkata banyak gedung di sekitar Madison Avenue telah terjejas dan situasi ‘tidak dapat diterima langsung.’

Berikutan itu beliau berkata perintah berkurung akan bermula pada pukul 8 malam hari ini dan bukannya 11 malam. – AFP