New Zealand cadang longgarkan lockdown

WELLINGTON, 16 APRIL – New Zealand dijangka melonggarkan lockdown seluruh negara bagi membendung koronavirus bermula minggu depan, namun Perdana Menteri Jacinda Ardern memberi amaran hari ini bahawa ia masih jauh daripada kembali kepada norma-norma normal.

Negara Pasifik dengan populasi lima juta itu merupakan salah sebuah negara yang paling berjaya mengekang wabak, dengan hanya lebih 1,000 kes disahkan dan sembilan kematian. Ia mencatatkan hanya enam kes jangkitan baharu hari ini.

“Terdapat tanda-tanda keberkesanan dalam strategi berkeras dan penghapusan awal kita dan lockdown melemahkan rantaian jangkitan komuniti,” kata Ardern.

Kerajaan melaksanakan satu lockdown maksimum Tahap Empat tiga minggu lalu yang termasuklah menutup sempadan negara pulau itu, perintah duduk rumah seluruh negara dan menutup semua kecuali perniagaan dan perkhidmatan penting.

Langkah tegas itu – serupa dengan yang dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat – melumpuhkan sedikit sebanyak ekonominya, dengan syarikat-syarikat ditutup, beribu-ribu kehilangan kerja dan ramalan pengangguran boleh melonjak sekitar empat peratus kepada hampir 26 peratus. – AFP