New Zealand rancang buka sempadan bulan depan

WELLINGTON, 28 OKT – New Zealand hari ini mengumumkan rancangan untuk membuka semula sempadan ketika tekanan semakin meningkat dalam kalangan rakyatnya yang terkandas di luar negara susulan beberapa sekatan perjalanan pandemik yang disifatkan paling sukar di dunia.

Menteri Tindak Balas COVID-19, Chris Hipkins, berkata ketibaan dari beberapa negara pulau kecil Pasifik akan diberikan perjalanan bebas kuarantin mulai bulan depan dan negara berisiko rendah lain akan dipertimbangkan pada awal tahun depan.

Hipkins berkata, tempoh kuarantin selama 14 hari yang dikuatkuasakan bagi semua pengembara ketika ini dikurangkan kepada tujuh hari pada bulan depan dan kemudiannya akan digantikan dengan kuarantin kendiri di rumah.

Beliau berkata, sempadan negara sebelum ini bertindak sebagai benteng virus, bagaimanapun penularan varian Delta di Auckland menunjukkan kebanyakan kes baharu berpunca daripada jangkitan dalam komuniti.

“Kami juga menyedari tekanan yang semakin meningkat di sempadan apabila dunia kembali berhubung, selain peningkatan warga New Zealand di sini dan di luar negara yang ingin berjumpa dengan orang tersayang,” katanya.

New Zealand merekodkan 28 kematian dengan lima juta penduduknya menikmati kehidupan hampir normal sepanjang tempoh pandemik.

Bagaimanapun, fasiliti sempadan berdepan tekanan tinggi dengan puluhan ribu warga New Zealand di luar negara berusaha menempah 4,000 bilik kuarantin.

Selain itu, media tempatan kerap melaporkan warga New Zealand tidak berpeluang menziarahi atau berdepan krisis keluarga disebabkan syarat kuarantin.

Hipkins berkata, perubahan itu membolehkan pengosongan lebih banyak bilik kuarantin dengan matlamat kerajaan untuk beralih kepada kuarantin di rumah menjelang tiga bulan pertama tahun depan iaitu selepas 90 peratus populasi penduduk di negara itu lengkap divaksinasi. – AFP