New Zealand undi benarkan eutanasia

WELLINGTON, 30 OKT – Kira-kira 65.2 peratus penduduk New Zealand hari ini mengundi untuk menyokong Akta Pilihan Menamatkan Tempoh Hayat dikuat kuasa sebagai undang-undang semasa pungutan suara untuk eutanasia sukarela, lapor agensi berita Sputnik, memetik media tempatan.

Menurut akhbar New Zealand Herald, setelah keputusan rasmi di-sahkan pada 6 November, undang-undang baharu itu akan memberi peluang kepada pesakit yang sangat parah untuk menerima bantuan menamatkan tempoh hayat setelah mendapat persetujuan daripada dua doktor.

Bagi mendapatkan akses untuk eutanasia, pesakit dengan keadaan enam bulan atau kurang untuk hidup harus berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan menjadi penduduk tetap atau warganegara New Zealand, tambah akhbar harian itu.

Hasil pemungutan suara itu tidak termasuk kira-kira 500,000 undi khas, termasuk undian dari luar negara.

Akta Pilihan Menamatkan Tempoh Hayat disahkan pada 13 November 2019, sementara undang-undang tersebut dijangka akan berkuat kuasa pada November 2021. Justeru, negara di kepulauan Pasifik itu akan bergabung dengan Belanda, Belgium, Luxembourg, Australia Barat, Colombia dan Kanada untuk membenarkan penggunaan eutanasia. – Bernama