NEWCASTLE, UNITED KINGDOM, 9 FEB – Eddie Howe menggesa Newcastle supaya ‘bertenang’ selepas mereka keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan penting 3-1 menentang Everton yang menjerumuskan pasukan Frank Lampard dalam masalah lebih kusut kelmarin.
Pasukan Howe ketinggalan di belakang kepada gol sendiri Jamaal Lascelles pada separuh masa pertama di St James’ Park.
Tetapi, pada malam Tyneside yang mendebarkan, pasukan Magpies mendapat sambutan yang sempurna apabila gol sendiri Mason Holgate mencetuskan kebangkitan yang memberangsangkan.
Ryan Fraser meletakkan Newcastle di hadapan selepas separuh masa dan sepakan percuma hebat Kieran Trippier melengkapkan kemenangan kedua berturut-turut pasukan tuan rumah.
Terperangkap di tangga tiga terbawah untuk sebahagian besar musim ini, Newcastle akhirnya berada di atas zon penyingkiran ketika mereka berjuang untuk mengelak daripada tenggelam dalam kejuaraan.
Tidak tewas dalam empat perlawanan liga, Newcastle berada satu tempat dan dua mata di atas zon penyingkiran.
Sambil memberi amaran kepada pemainnya untuk terus fokus, Howe berkata: “Kemenangan berturut-turut dalam EPL jarang berlaku, ia boleh mengubah status awda dan menaikkan lagi kelab. Tetapi kami perlu bertenang dan fokus pada perlawanan seterusnya.
“Kami berada di tempat yang lebih baik, tetapi bola sepak mempunyai cara untuk berpusing dan berubah, jadi kami tidak leka, kami tahu betapa sukarnya liga ini.” – AFP