Newcastle lantik Howe sebagai pengurus baharu

LONDON, 9 NOV – Newcastle menamatkan penantian mereka untuk melantik pengurus baharu kelmarin, mendedahkan bekas pengurus Bournemouth, Eddie Howe sebagai individu yang membawa pasukan The Magpies ke era baharu di bawah pemilik baharu dari Arab Saudi.

Howe, 43, mempimpin pasukan yang berada di tangga kedua dari bawah Liga Perdana Inggeris (EPL), lima mata dari zon selamat dan tanpa kemenangan sepanjang musim.

Dia menggantikan Steve Bruce, yang meninggalkan kelab itu dengan ‘persetujuan bersama’ pada 20 Oktober, dua minggu selepas pengambilalihan yang konsortium Arab Saudi melonjakkan kelab itu ke dalam barisan golongan kelab kaya.

Newcastle mendedahkan Howe, yang bukan pilihan pertama, telah diberikan kontrak ‘sehingga musim panas 2024’.

“Kami sangat kagum dengan Eddie melalui proses pengambilan yang ketat,” kata pemilik bersama, Amanda Staveley.

Gambar fail reaksi pemain Newcastle United, Isaac Hayden meraikan ketika menjaringkan dalam perlawanan EPL menentang Brighton pada 6 November lalu. – AP

“Serta pencapaiannya yang jelas bersama AFC Bournemouth, di mana dia mempunyai impak transformasi, dia adalah seorang jurulatih yang bersemangat dan dinamik yang mempunyai idea yang jelas tentang membawa pasukan dan kelab ini ke hadapan.”

Howe berkata ia adalah ‘penghormatan besar’ untuk menerajui sebuah kelab yang mempunyai kedudukan dan sejarah Newcastle, yang tidak pernah memenangi trofi utama sejak 1969 walaupun mempunyai peminat yang besar dan bersemangat.

“Ini adalah peluang yang baik, tetapi terdapat juga banyak kerja di hadapan kami dan saya tidak sabar untuk ke padang latihan untuk mula bekerja dengan pemain,” katanya.

Bekas pemain penyerang England dan Newcastle, Alan Shearer mengalu-alukan Howe, dengan kenyataan twitter, “Semoga berjaya Eddie.”

“Kami semua berharap awda boleh membawa kami beberapa semangat dan cita-cita yang sangat diperlukan,” tambahnya.

Pengerusi Amanah Penyokong Newcastle United, Greg Tomlinson memuji pelantikan ‘pengurus yang progresif dan moden’.

“Satu cabaran besar untuk kekal bersemangat tetapi masa depan jangka panjang kami cerah,” menurut kenyataannya dalam Twitter. – AFP