Neymar bermain ‘api’

SAO PAULO, 14 JULAI – Neymar berkata dia ‘hampir 100 peratus’ pulih daripada kecederaan buku lali yang mengetepikannya daripada menikmati kejayaan Brazil memenangi Copa Amerika.

Pemain termahal dunia itu berkata demikian ketika berada di Sao Paulo sebelum kembali ke Paris Saint-Germain pada Isnin ini.

PSG kecewa selepas Neymar gagal menghadirkan diri bagi sesi latihan minggu lepas, di mana ketiadaannya itu telah mencetuskan spekulasi mengenai perpindahannya semula ke Barcelona.

Dan lewat semalam dia memburukkan lagi spekulasi itu apabila memuat naik video 10 saat di Instagram mengenai dirinya, jersi Barcelona, bapanya dan satu ayat yang menyatakan ‘tiada senjata yang diacukan kepada anda akan berjaya’.

Minggu lepas, Neymar dan bapanya menegaskan bahawa mereka mempunyai kebenaran dari PSG untuk kekal di Brazil bagi membantu yayasannya, Institut Neymar.

Dalam satu temu bual di pantai Parida Grande, di mana dia menyertai satu kejohanan 5-sepasukan anjuran badan amalnya, Neymar menepis semua soalan mengenai masa depannya di PSG.

Apabila dia terlepas sesi latihan pertama pada Isnin lalu, PSG telah mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan bahawa ia akan mengambil ‘langkah sewajarnya’ ke atas bintang itu, yang menyertai PSG dari Barca pada 2017 dengan rekod dunia 222 juta euro.

Pengarah sukan juara Perancis itu, Leonardo berkata Neymar boleh meninggalkan PSG sekiranya terdapat tawaran yang menggembirakan semua orang. – AFP

Neymar (kanan) bersama bapanya semasa menyertai satu kejohanan bola sepak 5-sepasukan anjuran Institut Neymar di Brazil. – AFP