Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Neymar hadapi dakwaan tipu, rasuah

    MADRID, 5 Mei – Mahkamah di Sepanyol hari ini mengarahkan bintang Brazil dan Barcelona, Neymar dan keluarganya untuk menjalani perbicaraan berhubung dakwaan atas tuduhan penipuan dan rasuah bagi proses perpindahan pemain itu dari Santos pada 2013.

    Mahkamah Kebangsaan juga mengarahkan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu dan presiden sebelum itu, Sandro Rosell serta dua kelab terbabit, Barcelona dan Santos untuk menjalani perbicaraan.

    “Mereka akan dibicara atas tuduhan ‘rasuah perniagaan dan penipuan’, kata mahkamah dalam satu kenyataan. Ketibaan Neymar dari kelab Brazil, Santos membawa kejayaan cukup besar buat juara Sepanyol itu di atas padang, namun dari sudut kehakiman, ia dianggap mimpi ngeri.

    Penyerang bintang berusia 25 tahun itu disiasat di Brazil dan Sepanyol susulan perpindahannya ke La Liga.

    Kes itu dimulakan atas aduan dari syarikat pelaburan Brazil, DIS, yang memiliki 40 peratus hak sukan Neymar ketika perpindahannya.

    DIS hanya menerima 6.8 juta euro, 40 oeratus daripada 17 juta euro yuran perpindahan yang dibayar ke Santos, dengan syarikat itu mendakwa ia telah ditipu daripada bahagiannya kerana sebahagian daripada yuran perpindahan dirahsiakan oleh Barcelona, Santos dan keluarga Neymar.

    Tetapi mahkamah mendakwa Santos sebenarnya dibayar 25 juta euro, yang bermakna DIS ditipu sebanyak 3.5 juta euro.

    Barcelona pada asalnya mengeluarkan kenyataan bahawa yuran perpindahan berjumlah 57.1 juta (AS$62.3 juta), dengan 40 juta euro diberikan kepada keluarga pemain dan selebihnya kepada Santos. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda