Neymar jadi mangsa COVID-19

PARIS, 3 SEPT – Neymar adalah salah seorang daripada tiga bintang Paris Saint Germain yang telah dijangkiti koronavirus, beritahu satu sumber kepada AFP kelmarin, selepas pasukan naib juara Liga Juara-Juara mengumumkan beberapa ujian positif.

Tiga orang pemain Paris Saint-Germain telah disahkan positif ujian Sars CoV2 dan sedang menjalani protokol kesihatan,” menurut kenyataan dari PSG. “Kesemua pemain dan kakitangan akan terus menjalani ujian dalam beberapa hari akan datang”.

Apabila dihubungi AFP, kelab enggan mengesahkan identiti pemain berkenaan.

Tetapi sumber menjawab ‘Ya’ apabila ditanya sama ada Neymar adalah salah seorang yang telah diuji positif, bersama rakan sepasukan Angel Di Maria dan Leandro Paredes, seperti yang dilaporkan oleh akhbar sukan Perancis, L’Equipe sebelumnya.

Kes-kes tersebut berkemungkinan berhubung kait dengan perjalanan cuti ke pulau Mediterranean Sepanyol, Ibiza yang mana beberapa orang pemain PSG telah bercuti di sana selepas kekalahan final Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich.

Berita tersebut telah menjejaskan persediaan juara Perancis untuk permulaan perlawanan kempen Ligue 1 minggu depan, dengan perlawanan di tempat lawan menentang Lens yang dijadualkan pada 10 September tetapi kini berisiko ditangguhkan.

PSG telah menyebut pada Isnin lalu bahawa dua orang pemain yang tidak dinyatakan telah dilaporkan mengalami gejala koronavirus selepas pulang dari cuti.

L’Equipe melaporkan pemain-pemain terbabit pada masa itu ialah pemain dari Argentina Di Maria dan Paredes. Kedua-dua mereka dan Neymar, adalah antara beberapa orang pemain yang mengadakan perjalanan ke Ibiza selepas final Liga Juara-Juara, bergaul dengan rakan-rakan dan keluarga selepas menghabiskan minggu sebelumnya menjalani pengasingan diri di gelembung terkawal bersama rakan sepasukan dari Portugal.

Neymar kemudian memuat naik gambarnya bersama anaknya dengan kapsyen, “Terima kasih atas pesanan anda. Kami dalam keadaan sihat!”.

Media Brazil melaporkan anak lelaki dan bapa kepada pemain bola sepak itu adalah antara yang turut menyertai perjalanan ke Ibiza, telah disahkan positif dijangkiti virus itu. – AFP