PARIS, 8 Mac – Neymar akan bertolak ke Qatar bagi menjalani ‘pemeriksaan lengkap’ berkaitan rawatan pemulihan kaki kanannya yang retak, lapor kelab Paris Saint-Germain, hari ini.
Penyerang Brazil itu menyaksikan perlawanan dari bangku penonton di Parc des Princes ketika PSG tewas kepada Manchester United dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan kekalahan 3-1 kelmarin.
“Neymar Jr akan bertolak ke Aspetar (klinik sukan) di Qatar dalam tiga hari lagi seperti mana yang dijadualkan bagi pemulihan beliau,” kata kelab itu dalam laman Twitter.
“Beliau akan menjalani pemeriksaan lengkap selepas enam minggu kecederaannya. Beliau akan ditemani pasukan perubatan daripada PSG.” – AFP

































