Neymar sedia bantu PSG di Liga Juara-Juara

LISBON, 11 OGOS – Paris Saint-Germain sekali lagi dilanda masalah kecederaan ketika mereka memasuki pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, tetapi sedikit berita gembira selepas Neymar disahkan cergas dan bersedia untuk diturunkan.

PSG akan bermain menentang Atalanta di Lisbon esok dalam pusingan suku akhir, selepas UEFA menukar kejohanan elit menjadi seakan-akan format Piala Dunia selepas digantung akibat koronavirus.

Peminat-peminat belum dibenarkan untuk menghadiri perlawanan di Estadio da Luz, tetapi beraksi di stadium yang kosong terbukti bukan menjadi satu penghalang buat PSG selepas mereka berjaya menundukkan Borussia Dortmund dalam kelompok 16 terakhir, pusingan kedua pada Mac lalu.

Pada perlawanan tersebut, Neymar mencatat nama sebagai penjaring dalam kemenangan 2-0 selepas berjaya menukar keputusan perlawanan dalam pusingan pertama.

Selepas perlawanan, pemain Brazil itu dilihat duduk di tempat peminat di Parc des Princes dan menangis kegembiraan.

Ini merupakan musim keduanya di Paris selepas perpindahan bernilai 222 juta euro dari Barcelona dan dibayangi oleh beberapa siri kecederaan semasa kejohanan.

Dia mengalami kecederaan patah metatarsal dan terlepas perlawanan kelompok 16 terakhir, pusingan kedua menentang Real Madrid pada 2018 dan PSG disingkirkan oleh juara bertahan ketika itu. Sejarah berulang kembali setahun kemudian selepas sekali lagi dia dilanda kecederaan metatarsal semasa menentang Manchester United, di mana mereka mensia-siakan gol kelebihan 2-0 dalam perlawanan pusingan pertama. – AFP