Neymar sedia pacu PSG ke pentas terbesar

LISBON, 21 OGOS – Nasib Paris Saint-Germain di Liga Juara-Juara dalam tahun-tahun kebelakangan telah dikaitkan dengan kemenangan Neymar, bahkan sebelum mereka membeli pemain Brazil itu dengan bayaran rekod dunia dan jika dia meneruskan prestasi permainan di final Ahad, ia mungkin membuat perbezaan menentang Bayern Munich.

Kini berusia 28 tahun, Neymar terdesak untuk mengecap satu lagi kejuaraan Liga Juara-Juara, lima tahun selepas dia memenangi kejohanan tersebut bersama Barcelona.

Jika dia mampu memainkan peranan utama dalam memacu PSG mencapai kemenangan – sementara Cristiano Ronaldo di Juventus tidak beraksi sama sekali dari ‘Lapan Terakhir’ dan Lionel Messi dan Barcelona telah disingkirkan – dia mungkin akan diterima sebagai pemain terbaik dunia, meskipun tiada anugerah Ballon d’Or pada tahun ini kerana pandemik.

Ia akan menjadi masa yang sesuai buat Netflix, dengan perkhidmatan penstriman yang kini berusaha untuk menjalankan siri dokumentari mengenai musimnya di Paris, menurut laporan di Brazil.

Dan bagi PSG serta pemilik dari Qatar, ia akan mengesahkan keputusan mereka untuk membayar 222 juta euro untuk membawanya keluar dari Barcelona tiga tahun lalu, selepas dua musim pertamanya bersama kelab Perancis itu dibayangi oleh kecederaan dan laporan yang berterusan mengatakan bahawa dia tidak selesa berada di sana.

Apabila Paris menandatanganinya pada Ogos 2017, mereka masih merasai keperitan tersingkir dari Liga Juara-Juara menentang Barcelona beberapa bulan sebelumnya. – AFP