PARIS, 16 OKT – Neymar akan diketepikan dari perlawanan di tempat lawan Paris Saint-Germain dalam saingan Ligue 1 menentang Nimes hari ini, selepas memainkan peranan penting beraksi untuk pasukan kebangsaan Brazil.
Pemain termahal dunia itu menjaringkan hatrik untuk negaranya dalam kemenangan 4-2 ke atas Peru bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.
Perlawanan yang berlangsung di Lima tidak berakhir sehingga awal pagi Rabu, waktu Eropah dan ini bermakna dia tidak akan bermain untuk kelabnya pada hujung minggu ini.
Pengurus kelab, Thomas Tuchel sebaliknya memilih untuk merehatkan bintang Brazil itu untuk persediaan dalam perlawanan Liga Juara-Juara di tempat sendiri menentang Manchester United Selasa depan.
PSG tidak mempunyai beberapa orang pemain bagi perlawanan di Nimes, di mana mereka sedang memburu kemenangan kelima berturut-turut selepas memulakan kempen dengan dua kekalahan.
Angel Di Maria dan Marquinhos sedang menjalani penggantungan, sementara Marco Verratti dan Mauro Icardi antara pemain yang terlepas perlawanan akibat kecederaan.
Pemain tengah Danilo Pereira perlu menunggu untuk membuat penampilan sulungnya selepas tiba dari Porto secara pinjaman – dia ketika ini menjalani pengasingan diri selepas mempunyai kontak dengan Cristiano Ronaldo, yang diuji positif COVID-19, ketika bermain untuk skuad Portugal.
Walau bagaimanapun, pemain yang baru dibeli iaitu Rafinha dan Moise Kean dapat turun beraksi, dan Kylian Mbappe turut dimasukkan dalam skuad meskipun bermain untuk Perancis di Croatia pada malam Rabu. – AFP